Selepas 12 Tahun, Syura Badron Selamat Bersalin Bayi Lelaki, Teruja Perkenal Nama Anak
Penyanyi Syura Badron selamat melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di Masai, Johor sekitar jam 9.01 malam Isnin.
Berita gembira itu dimaklumkan sendiri suami kepada Syura iaitu Muhamad Farizat menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya.
“Syukur alhamdulillah, pada 13 Mac 2023 isteri saya telah selamat melahirkan seorang putera seberat 2.5kg secara normal pada pukul 9.01 malam, telah dirawat sempurna oleh @drthokha,” kongsinya.
Sementara itu, Farizat turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mendoakan buat ibu dan bayi tersebut.
Malah, pasangan itu sudah pun mempunyai nama buat cahaya mata baharu mereka iaitu Muhammad Umar Eussof.
“Terima kasih di atas segala doa yang tak henti dari semua, hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala doa kalian. Terima kasih sayang (Syura) untuk anugerah terindah ini.
“Assalamualaikum dan selamat datang sayang daddy mommy, Muhammad Umar Eussof,” tambahnya.
Untuk info, Syura dan Farizat selamat bergelar suami isteri pada Januari tahun lalu dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid As-Salam, Puchong Perdana.
Bagaimana pun, itu bukan merupakan perkahwinan pertama penyanyi itu apabila terdahulu dia pernah mendirikan rumah tangga bersama Mohd Fadhly dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nurul Diana Irdani, 16, Nurul Qaisara Sofia, 14 dan Muhammad Irfan Aryan 12.