Munajat adalah single terbaru Datuk M.Nasir yang dinanti- nantikan setelah sekian lama sejak album terakhir beliau ‘Sang Pencinta’.

Single Munajat terbitan Luncai Emas Sdn Bhd, ciptaan sepenuhnya oleh beliau adalah juga lagu OST filem ‘Imam’ yang beliau bintangi sebagai watak utama.



Sebagai seorang seniman, M.Nasir sering mencabar dirinya dalam pelbagai disiplin seni seperti lukisan, pembikinan arca dan lain-lain termasuk juga bidang lakonan.

Beliau terkenal dengan watak-watak ikonik seperti Bujang dalam filem Kembara Seniman Jalanan, Desa dalam filem Balada, dan yang paling diingati ramai, Hang Tuah dalam Puteri Gunung Ledang. Kali ini beliau memegang watak seorang Imam.

Makna munajat
"Munajat secara umum membawa maksud doa atau rintihan hati, selalunya dalam bentuk zikir yang bertujuan untuk merayu dan meminta keredhaan Tuhan Yang Maha Esa iaitu tujuan sebenar seorang Muslim.

"Dalam filem ‘Imam’, percanggahan pendapat antara Imam Lama dan Imam Baru melahirkan persengketaan yang mengalihkan perhatian orang daripada tujuan sebenar itu, dan lagu ini berusaha untuk mengingatkan kembali perkara tersebut," katanya.

M.Nasir apabila dipertanggungjawabkan untuk mencipta lagu OST Imam oleh Mior Hashim Manap yang juga merupakan penerbit filem ini.

Single ini telah dilancarkan di semua saluran digital dan muzik videonya di saluran YouTube Luncai Emas pada Jumaat 10 Februari 2023.

Sinopsis filem Imam
Filem ‘Imam’ terbitan Al- Kahfi Pictures Sdn Bhd arahan Mior Hashim Manap adalah sebuah adaptasi karya agung Sasterawan Negara iaitu Dato Abdullah Hussain yang turut dibintangi oleh Vanida Imran dan Faizal Hussein.

Jalan cerita filem ‘Imam’ mengikuti kepulangan Imam Haji Mihad (dilakonkan oleh Dato’ M.Nasir) ke kampungnya, Kampung Anggrik Desa, setelah lama menghilangkan diri.

Setelah dilantik oleh penduduk kampung untuk menjadi Imam baharu menggantikan Imam tua, Haji Abdul Rahman, beliau berusaha untuk membawa pambaharuan kepada masjid tersebut namun usahanya ditemui dengan tentangan dari penduduk yang masih jumud.

Filem Imam bakal ditayangkan di semua pawagam pada 2 Mac 2023.