Laman Utama

Semakin Kurus & Tiba-Tiba Kepala Dah Botak, Kenapa Dengan Syaffiq Sahli?

gempak
Amri Hassan
23/12/2021
08:25 MYT
Sponsor Banner
Semakin Kurus & Tiba-Tiba Kepala Dah Botak, Kenapa Dengan Syaffiq Sahli?
Pelakon drama, Syaffiq Sahli, 35, mengaku gara-gara tindakannya membotakkan kepala, dia terpaksa reda menolak tawaran lakonan untuk dua buah naskah telefilem tempatan.
Menurut pelakon ini, tindakan membotakkan kepala itu dilakukannya bagi merealisasikan watak Jihad dalam sebuah telefilem dengan judul yang sama di bawah pengarahan sutradara, Md Idris untuk siaran televisyen tempatan.
"Pada awalnya, pengarah tidak sarankan saya untuk botakkan kepala walaupun menurut skrip, memang watak saya itu memerlukan saya dalam imej itu. Kata pengarah, nanti kasihan saya susah untuk teruskan komitmen dengan lakonan drama lain.
"Kalau ikutkan, ada dua buah naskah yang telah saya persetujui untuk membintangi. Satu untuk drama slot Akasia dan satu lagi telefilem. Tetapi, bila saya teliti betu-betul karektor Jihad ini, memang klimaksnya ialah dia membotakkan kepala.
"Lalu saya fikir, tak mengapalah. Memang ralat bila terpaksa tolak ‘job’ lain ini. Tapi demi watak Jihad ini, saya tahu diri perlu buat pengorbanan ini,"katanya.
Berkongsi lanjut, kata pelakon yang popular dengan drama 7 Hari Mencintaiku 2 ini, pengorbanan membotakkan kepala untuk naskah Jihad juga baginya adalah perlu memandangkan skrip menceritakan watak tersebut juga merupakan seorang pesakit kanser.
"Dalam telefilem ini, Jihad dipaparkan sebagai seorang pesakit kanser otak, namun menyembunyikan penyakitnya itu daripada pengetahuan ayah angkatnya, yang juga merupakan seorang pesakit kanser paru-paru.
"Harus saya akui, ini merupakan naskah paling berat yang saya pernah terima sepanjang sembilan tahun bergelar anak seni. Jadi, atas dasar menjiwai watak dan mahu lakonan mampu memberi kesan kepada penonton, saya tak kisah pun untuk membotakkan kepala," tambahnya.
Tidak cuma itu, kata Syaffiq, komitmen penuh juga diberikan untuk Jihad sehingga dia sanggup berdiet sebelum memasuki set penggambaran.
"Sebagai pesakit kanser, mestilah badan perlu kelihatan susut. Untuk itu, saya mula turunkan berat badan dengan mengawal pemakanan. Saya cuma makan sayuran, kekacang dan isi ayam atau ikan.
"Pendek kata, makan dengan cara menjamah sedikit saja untuk rasa. Bukan makan untuk kenyang. Hasilnya berat badan saya susut daripada 60 kilogram kepada 55 kilogram," katanya.
Tambah Syaffiq lagi, walaupun mungkin ada yang akan memandang remeh usahanya itu, sebagai pelakon, dia percaya disiplin dan komitmen harus diberi keutamaan demi mengekalkan reputasi yang bagus.
"Saya jarang dapat naskah begini, kalau penyampaian saya tak bagus, rugilah.
"Usah sia-siakan peluang. Lagipun, semasa berada di set, seseorang pelakon itu harus mencuba memudahkan kerja orang lain juga. Kalau tidak, penatlah kru, pengarah, pelakon lain. Bila naskah sudah ditayangkan di skrin dan nampak tak menarik, yang kerja belakang tabir ini pun akan rasa kecewa.
"Bagi saya, kalau seseorang pelakon itu dari awal sudah rasa tak boleh bawa satu-satu watak itu, lebih baik jangan ambil. Jangan susahkan orang sekeliling. Satu lagi, baca skrip dulu, baru tanya pasal bayaran. Saya orangnya begitu," ujarnya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live