Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) mengumumkan keputusan untuk menghentikan operasi semua panggung wayang di seluruh negara buat sementara waktu bermula November ini.

MAFE dalam satu kenyataan berkata, penutupan itu adalah keputusan yang diambil selepas melihat kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di beberapa negeri menyebabkan panggung wayang terpaksa ditutup selain jumlah filem yang sedikit.

"Bermula November ini, semua panggung wayang secara progresif akan menghentikan tayangan filem serta operasi mereka. Bagaimanapun, ia bergantung kepada perubahan keadaan semasa dan juga perkembangan keadaan pasaran," katanya.

Sehubungan itu warganet mula meninggalkan pelbagai reaksi apabila keputusan tersebut dibuat MAFE.

Antara yang menjadi perbincangan warganet di media sosial termasuk meluahkan rasa simpati terhadap nasib pekerja panggung wayang.

Mereka turut menyelar komen sinis segelintir warganet yang mahu panggung wayang ditutup terus, buat selamanya.

“Ada yang bodoh komen tak pikirkan orang yang kerja kat wayang. Ingat kalau tutup berapa ramai menggangur? Mana yang masih anak-anak mak pak suap lagi. Senyap-senyap je takyah komen bajet-bajet sarcasm,” selar seorang pengguna laman sosial.

“Komen tak ingat dunia tahu nak rezeki kita je baik. Ingat staf yang kerja panggung wayang tak ada anak bini mak bapak untuk diberi makan minum? Cuba tempat kerja masing-masing tutup, halau kita balik pandai-pandailah cari kerja tempat lain apa rasa?,” kata seorang lagi.

Dalam pada itu MAFE berkata, SOP menonton filem di panggung wayang ketika penularan pandemik Covid-19 menyebabkan industri panggung wayang Malaysia jatuh merudum dan berdepan kerugian besar.

Pada masa sama, pihak panggung wayang terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk membekalkan peralatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan penonton.

"Panggung wayang di Malaysia mendapat bantuan kerajaan dalam tempoh yang mencabar ini. Sekiranya industri ini jatuh, ia secara tak langsung akan mengganggu ekosistem hiburan tanah air kerana pembabitan banyak pihak termasuklah pelakon, pemasaran, kru filem dan ramai lagi.

"Beberapa bulan akan datang tentunya akan menjadi tempoh yang lebih kritikal. Namun, kami optimis dan untuk melihat masa depan yang cerah untuk industri panggung wayang kembali mendapat tempat," katanya.