Program sketsa komedi Sepahtu Reunion Live kembali bersiaran secara langsung pada tahun 2022 menampilkan kandungan yang sarat mesej dan barisan pelakon yang menarik.

Namun, ketiadaan pemenang kasut emas program Mencari Sepahtu Yang Hilang, Dewa dari kumpulan Arteh menimbulkan tanda tanya.

Menurut Jep atau nama sebenarnya Muhd Nadzri Zainal Abidin, 37, tiada isu tentang ketiadaan Dewa dalam musim terbaharu ini kerana kemunculan tersebut adalah sebagai hadiah bonus kemenangan.

“Sebenarnya kemunculan Dewa di Sepahtu Reunion Live adalah sebagai hadiah kemenangan juara program Mencari Sepahtu Yang Hilang pada tahun 2021. Itu sahaja yang kita dah janjikan.

“Jadi kemunculan dia hanyalah pada setakat itu sahajalah, bukanlah sebagai kemunculan tetap. Penampilan dia pada edisi terdahulu adalah sebagai hadiah bonus di atas kemenangan. Bila kita mula dengan musim baharu ni, dia dah tiada.

“Mereka semua pun tahu tentang perkara tersebut, sebelum bermulanya program Mencari Sepahtu Yang Hilang pun kita ada maklumkan pada semua peserta tentang hadiah bonus tu, jadi jelas di situ,” ujarnya kepada Gempak.

Jep ditemui selepas siaran langsung program Sepahtu Reunion Live 2022 yang berlangsung di Royale Theatre, Shah Alam pada Khamis.

Tambah Jep lagi, sebagai pembaharuan untuk musim terbaharu ini, mereka akan menampilkan seorang pelakon legenda yang akan bersama Sepahtu sepanjang 12 episod bersiaran.

“Saya sangat teruja dengan kemunculan seorang legenda ini untuk menyertai keluarga Sepahtu Reunion Live musim terbaharu ni, hati saya merasakan individu ini akan banyak membantu kami sepanjang episod.

“Saya dah banyak bekerjasama dengan individu ini dan alhamdulillah semuanya menjadi. Cuma minggu ni dia tak boleh bersama kami dan dia akan buat kemunculan minggu hadapan,” jelasnya lagi.

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak)


Saksikan musim terbaharu Sepahtu Reunion Live 2022 yang bersiaran setiap Khamis, 9 malam di saluran Astro Warna (107).