Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew berkongsi video makan sedulang bersama beberapa orang pekerja menghantar makanan.

Perkongsian itu dimuat naik menerusi akaun Instagram miliknya hari ini.

Dalam video tersebut, mereka kelihatan menikmati mee goreng dalam bungkusan menggunakan tangan.

"Hidupkan sunnah bersama adik grab dan food panda yang baik-baik, Allah sayang kita semua," coretnya sebagai kapsyen.

Menjengah ruangan komen, rata-rata pengikut Ebit meninggalkan respon positif. Namun ada beberapa netizen yang tertumpu perhatian pada lagu yang digunakan Ebit sebagai bunyi latar dalam video berkenaan.

Lagu itu diketahui oleh ramai penonton drama siri Netflix popular Squid Game kerana ditampilkan dalam satu babak permainan patung gergasi kanak-kanak perempuan yang menembak pemain melakukan kesilapan.

"Allahu terkejut buka IG background music ustaz," seloroh seorang netizen.

"Seram lagu ini ustaz," tulis pengguna Instagram yang lain.

"Lain macam backsound ustaz," tulis seorang lagi warganet.

"Win lagu hehehe," seloroh yang lain pula.

Bagaimanapun, komen-komen tersebut dapat difahami ditulis dalam bentuk gurauan, bukan teguran bersifat kebencian.

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew)


Squid Game menceritakan tentang mereka yang mengambil bahagian dalam permainan perlu bertahan untuk memenangi hadiah wang tunai lumayan.

Bagaimanapun, ia tidaklah mudah seperti yang disangka kerana melibatkan nyawa. Paling menarik permainan yang dimainkan adalah permainan kanak-kanak popular.

Drama Korea fenomena ini dibintangi oleh Lee Jung Jae, Park Hae Soo, Wi Ha Joon, Jung Ho Yeon, Heo Sung Tae dan ramai lagi.

Kepada yang belum menonton, anda boleh menyaksikan Squid Game secara eksklusif di Netflix.