Pelakon Datin Rebecca Nur Al Islam memaklumkan keadaan terkini suaminya Datuk Norazam Sulaiman yang dijangkiti Covid-19.

Rebecca menerusi kemaskini dalam ruangan Instagram (IG) Story memaklumkan, suaminya saat ini sudah menggunakan mesin oksigen untuk bantuan pernafasan.

Selain itu, Rebecca meninggalkan pesanan agar pengikutnya di IG tidak memandang ringan penyakit membawa maut tersebut.

Pelakon berusia 35 tahun itu turut memohon agar mendoakan dia dan seluruh ahli keluarga.

"Mari kita berdoa beramai-ramai. Serius, penyakit ini sangat bahaya. Suami saya dah pakai oksigen sekarang ni. Doakan kami sekeluarga ya," tulisnya.

Sebelum itu Rebecca memuat naik rakaman video menunjukkan mesin oksigen yang digunakan suami.

Pada 8 Julai lalu, Rebecca berkongsi berita sedih mengenai suami, enam anak dan tiga pembantu rumah disahkan positif COVID-19.

Dua hari selepas itu, dia pula dijangkiti wabak berkenaan.

"Pada awalnya saya negatif, akhirnya saya juga disahkan positif COVID-19 setelah menjaga suami dan anak-anak tercinta.

"Doakan kan saya serta seluruh keluarga sihat seperti sedia kala ya semua, secara jujur saya juga hampir tumbang semalam kerana tidak boleh tidur dan terfikir dengan sekelip mata segalanya dari Sang Pencipta,” katanya.

Foto: Instagram Rebecca Nur Al-Islam