Pelakon dan pelawak Kumin KU2, 49, dimasukkan ke Hospital Ampang akibat angin pasang dan air berlebihan dalam badan sejak dua hari lalu.

Menurut laporan Harian Metro, Kumin atau nama sebenar Khuzami Ismail berkata, kedaannya kembali stabil tetapi perlu dirawat sekitar lima hari lagi.

"Alhamdulilah sekarang saya masih sihat dan dipanjangkan umur lagi.

"Terus-terang, kalau semalam keadaan saya memang teruklah. Tapi, hari ini Alhamdulillah syukur kesihatan saya lebih baik dan boleh dikata, 80 peratus sudah stabil.

"Bagaimanapun, memandangkan saya diserang angin pasang dan ada air berlebihan dalam badan, doktor memaklumkan saya perlu tinggal di wad sekitar lima atau enam hari lagi," katanya.

Menurut Kumin, kini dia berhadapan masalah pergerakan terhad. Ujarnya, dia masih tidak boleh bergerak banyak dan hanya duduk di katil sahaja.

Menceritakan keadaan awalnya sebelum mendapatkan rawatan di hospital, Kumin berkata dia sudah berasa sakit sejak beberapa hari lalu. Namun, dia kuatkan semangat untuk bertahan kerana mahu menyiapkan penggambaran drama dibintangi.

"Namun, semalam memang saya dah tak boleh tahan lagi. Saya mengalami sesak nafas, diikuti serangan angin pasang di rumah dan perlu segera ke hospital.

"Saya memohon pertolongan rakan iaitu pelakon Yank Kassim untuk bawa ke hospital. Tetapi, ketika itu saya dah tak boleh bergerak kerana kebas anggota badan.

"Jadi, untuk penyelesaian selepas menghubungi pihak ambulans, saya hubungi pula pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah untuk bantu bawa saya turun dari kediaman ke hospital," katanya.

Sebelum ini tersebar berita palsu mengatakan dia meninggal dunia.

Terdahulu, Kumin mula aktif dalam industri hiburan sejak era 1990-an. Dia bersama rakan baiknya Allahyarham Bob Kuman pernah menubuhkan kumpulan duo dikenali KU2 yang berjaya melonjakkan populariti mereka meskipun bertubuh besar.

Selama membina nama bersama KU2, duo ini pernah menghasilkan empat album iaitu Motivasi pada 1994, Evolusi (1997), Album Baru Aku! (1999) dan The Best of KU2 (2001).

Berbanding Allahyarham Kuman yang banyak berlakon, Kumin pula memilih lebih memberi fokus pada kerja belakang tabir dan menjadi pengurus produksi.

Sumber: Harian Metro