“Setakat 1 Lagu Hits, Tapi Dah Perasan Macam Celine Dion Baik Tak Payah!” - Tok Ram Nasihat Penyanyi BBNU
Pengarah muzik tersohor, Datuk Ramli MS menasihati penyanyi baharu agar tidak berasa selasa dengan populariti diraih sekiranya hanya memiliki sebuah lagu hits sahaja.
Bagaimanapun kata Ramli, seandainya lagu hits tersebut merupakan ciptaan sepenuhnya penyanyi berkenan, elok diteruskan.
Namun jika sebaliknya, dia meminta penyanyi itu untuk ‘sedar diri’ dan berhenti daripada berangan-angan.
“Nasihat saya kepada penyanyi baharu, yang besar adalah lagu bukan kamu. Sebagai pendatang baharu jangan mabuk dengan populariti apabila hanya ada satu sahaja lagu hits.
“Kalau lagu itu ciptaan kamu sendiri sila teruskan dan buat sampai 15 lagu. Sekiranya anda mempunyai 15 lagu hits kemudian dah boleh berjaya seumur hidup.
“Ini kalau setakat satu lagu hits lepas itu orang lain yang ciptakan lagu tersebut dan kemudian berangan dah macam Celine Dion, baik tak payah lah,” katanya.
Ramli atau mesra disapa Tok Ram berkongsi mengenai perkara tesebut ketika menjadi tetamu dalam segmen podcast Sinar FM yang dihoskan oleh Dina Nadzir dan Falyq Hikyle.
Dalam masa sama, Tok Ram turut berharap penyanyi baharu yang memiliki kemampuan mencipta lagu untuk terus menghasilkan karya hits untuk dijadikan ‘jaminan hidup’ pada masa depan
“Sebab apa saya cakap begini? Bayangkan seorang penyanyi itu ada satu lagu hits pada umur 21 tahun, kemudian sampai umur 35 tahun dah ada 15 lagu hits. Konfirm dah menjamin hidup dia sebagai penyanyi sampai mati.
“Dengan 15 lagu hits dah boleh buat duit dengan adakan konsert selama dua jam, tapi kalau baru satu lagu hits, tapi perasan Celine Dion memang tak jadi apa, bakat anda tidak kemana.
“Perlu bekerja keras, lagu itu yang akan kekal berpuluh tahun, sebab kita sebagai manusia akan pergi juga. Berkaryalah dengan sejujurnya. Lagu adalah pasport untuk seorang penyanyi. Nama besar tiada lagu hits, you are nothing,” ujarnya lagi.