HIBURAN
"Setiap Kali Berbual Dengan Orang, Idea Untuk Skrip Muncul" - Raja Azrey Hasilkan Iklan Raya Luluh, Bikin Emosi Sayu Nak Raya
Bila sebut nama Raja Azrey, ramai yang tahu betapa dia cukup mahir menggarap kisah-kisah penuh emosi yang meninggalkan kesan mendalam pada penonton.
Tahun ini, Raja Azrey kembali dengan 'Luluh', iklan raya Arora Skincare yang menjadi antara karya paling berani dan meruntun hati.
Selepas kejayaan luar biasa 'Pantang' (2023) dan 'Egois' (2024), ekspektasi terhadap sentuhan magis Raja Azrey semakin tinggi.
Namun, pengarah ini tidak melihatnya sebagai tekanan, sebaliknya sebagai cabaran untuk terus menghasilkan karya yang lebih kuat, lebih menyentuh perasaan, dan lebih dekat dengan realiti kehidupan.
“Setiap kali saya berbual dengan orang yang berkongsi pengalaman hidup, idea untuk skrip muncul secara tiba-tiba.
"Kadang-kadang dalam sehari atau dua hari, skrip dah siap! Tapi cabaran sebenar adalah bagaimana nak pastikan ia bukan sekadar cerita, tetapi satu pengalaman yang benar-benar memberi kesan kepada penonton," katanya.
Sebagai seorang pengarah yang sinonim dengan naskhah penuh jiwa, Raja Azrey tidak mahu menghasilkan jalan cerita yang klise dan boleh dijangka.
Kali ini, Raja Azrey membawakan kisah Iman (Syafie Naswip), seorang anak yang sangat menyayangi ibunya, Mak Leha (Aznah Hamid). Namun, satu keputusan kecil yang diambil tanpa berfikir panjang akhirnya membawa kepada tragedi besar yang mengubah seluruh hidupnya.
Dalam perjalanannya menanggung beban kesalahan dan kesedihan, Iman bertemu dengan pasangan Farhan (Riez Radzi) dan Aida (Lina Illina), yang hampir melakukan kesilapan sama. Perjalanan mereka bersilang dan apa yang berlaku seterusnya bakal membuka mata semua penonton tentang nilai kasih sayang dan masa yang tak akan pernah kembali.
"Saya tak mahu sekadar bercerita tentang anak yang derhaka dan menyesal di hujungnya. Saya nak tunjukkan bagaimana keputusan kecil yang kita anggap remeh boleh membawa kesan yang jauh lebih besar daripada yang kita bayangkan.
“Saya mahu penonton bukan sahaja menonton, tetapi turut merasai dan memahami apa yang sedang berlaku di dalam cerita ini. Saya mahu mereka bawa pulang sesuatu selepas menonton," katanya lagi.
Must-Watch Video