Dua anggota Voices of Euphonious (VE) Shah dan Damian mengumumkan berundur daripada kumpulan tersebut.

Perkara tersebut turut disahkan menerusi hantaran di laman sosial Instagram @voicesofeuphonious, semalam.

Dalam pemberitahuan tersebut, VE memberitahu akan meneruskan perjuangan dengan ahli lain Zaf, Cham, Adeep dan Hakim.

Mereka turut memberitahu tidak lagi mengendalikan akaun tersebut selepas ini dan bakal membuka akuan baru.

Kumpulan yang popular dengan lagu Pop Yeh-Yeh itu juga berharap perjuangan VE dipermudahkan dan dapat diteruskan.

Mereka turut meminta peminat mendoakan yang terbaik untuk perjalanan seni VE pada masa akan datang.



Sementara itu, Damian mengakui berundur dari VE untuk kebaikan diri dan kumpulan tersebut.

Tambahan lagi katanya, dia kini sedang memberi fokus kepada keluarga, perniagaan dan projek saluran YouTube yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Damian turut menafikan dakwaan pengunduran dirinya kerana perselisihan faham tetapi keputusan dibuat atas kerelaannya sendiri.

“Saya Damian Mikhail secara sukarela telah mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada VE dan berharap mereka yang masih ada meneruskan perjuangan selagi boleh.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat semua yang telah menyokong saya sepanjang karier seni saya daripada 1994 sehingga lah sekarang.

“Saya telah melalui pelbagai fasa di dalam perjalanan seni saya dan antara faktor yang telah banyak mematangkan saya adalah bila saya bersama kumpulan @voicesofeuphonious.

“Alhamdulillah, setiap benda yang baik pasti akan ada penamatnya. Tapi setiap penamat merupakan permulaan untuk fasa kita seterusnya.

“Saya kini berada didalam satu fasa hidup yang memerlukan 100% masa dan fokus saya terhadap tanggungjawab kepada bisnes persendirian dan keluarga, saya sebagai seorang suami dan seorang bapa.

“Oleh itu...Di saat usia kita semakin meningkat ni, adalah amat penting untuk saya memberikan fokus dan masa terhadap saham akhirat saya nanti,” katanya.

A post shared by Damian Mikhail (@damianmikhailmusic)