Pelakon Sharnaaz Ahmad, 36, menyatakan dia tidak mempunyai hubungan istimewa dengan mana-mana wanita.

Jelas Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad berkata dia masih dalam proses perkenalan kerana ingin mencari calon yang terbaik untuk anak lelakinya, Jebat Jayden.

"Saya sekarang ini tidak ada apa-apa hubungan istimewa. Apa yang saya boleh cakap, masih dalam proses mengenali kerana mencari terbaik.

"Yang terbaik itu bukan untuk diri saya tetapi untuk diri Jebat dan masa depan dia," katanya.

Sharnaaz menjawab soalan daripada Pelumba Moto2 Negara, Hafizh Syahrin yang ingin mengetahui status hubungan dengan pelakon dan penyanyi yang hangat diperkatakan di media sosial.

Walaupun Hafizh tidak menyebut empunya nama, rata-rata netizen tahu individu tersebut adalah Azira Shafinaz.

Turut sama sertai Instagram Live malam tadi adalah penyampai radio Era, Radin dan pelakon Shukri Yahaya.

Dalam pada itu, pelakon drama Suamiku Encik Sotong akui pintu hatinya terbuka dalam mencari pengganti selepas bercerai dengan kakak Neelofa iaitu Noor Nabila.

Bagaimanapun, tegasnya Jebat menjadi keutamaan dalam apa sahaja situasi.

"Bukan tak fikir nak cari orang lain tapi ini untuk kebaikan Jebat. Saya bukan menggunakan Jebat sebagai alasan untuk apa-apa sekalipun. Tetapi itu adalah keutamaan," katanya lagi.

Terdahulu, Sharnaaz dan Nabila berkahwin pada 31 Mac 2017 namun bahtera yang dibina tidak bertahan lama apabila mereka disahkan bercerai pada 9 Julai tahun lalu.

Hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden Ahmad yang kini berusia tiga tahun.