"Lagu terakhir nyanyian bidadariku," demikian kapsyen ringkas yang ditulis Shuib pada video nyanyian arwah isterinya, Siti Sarah yang dikongsikannya di YouTube pada pagi Jumaat.

Lagu nyanyian semula Tanpa Kekasihku (Agnez Mo) itu dilantunkan arwah Sarah dengan penuh perasaan dan emosi yang ketika itu lengkap bertelekung solat.

Kata Shuib, dia berkongsi semula rakaman itu kepada umum sebagai tanda kenangan akhirnya bersama arwah Sarah.

"Sengaja saya kongsikan video ni sebab saya takut video ni hilang dari simpanan saya.

"Jadi saya abadikan di dalam channel ini. Ini lagu terakhir nyanyian arwah pada 28 Julai 2021.

"Arwah yang beriya-iya minta saya rakam dia menyanyi, ternyata semasa saya record video ini, saya merasakan satu perasaan yang sangat-sangat lain.

"Cara pandangannya, cara nyanyiannya, cara arwah luahkan hati dan perasaan ketika menyanyikan lagu tersangat istimewa," tulis Shuib.



Tambahnya, lirik lagu terbabit juga membawa makna tersendiri dalam kehidupannya kini.

"Bila diamati bait lirik, ternyata ada sesuatu arwah cuba sampaikan…InsyaAllah arwah kini tenang di syurga," tambahnya.

Sehingga artikel ini ditulis, video tersebut telah ditonton lebih 800,000 kali.

Allahyarhamah Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat COVID-19, jam 5.13 pagi Isnin.

Terdahulu, ibu kepada empat cahaya mata itu bertarung nyawa akibat COVID-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.

Penyanyi lagu Kesetiaan itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor pada kira-kira pukul 1.20 petang Isnin.

Allahyarhamah meninggalkan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini masih berada dalam pemantauan di PPUKM.