Siapa Jaga Mak, begitu judul drama 13 episod yang akan menemui penonton hari ini menerusi slot Tiara pukul 6 petang di saluran Astro Prima.

Apa yang menarik, naskhah kekeluargaan ini diinspirasikan daripada kisah benar yang berlaku kepada masyarakat di Singapura.

Drama ini sarat dengan emosi dan iktibar ini berkisarkan tentang tanggungjawab dan konflik yang dihadapi oleh empat buah keluarga dengan latar belakang yang berbeza dalam memberikan penjagaan yang sempurna untuk ibu tercinta.

Drama Siapa Jaga Mak terbitan syarikat produksi yang berpangkalan di Singapura, DV Studio Pte Ltd ini turut menampilkan dua pengarah handalan dari negara seberang Tambak. Episod 1 hingga 6 diarahkan oleh Vishali Panch. Episod 7 hingga 13 pula diarahkan oleh Zulanan Ahmad.

“Keunikan drama bersiri Siapa Jaga Mak ialah daripada segi penceritaannya yang bersifat universal kerana ia berkisarkan tentang tanggungjawab seorang anak, kasih ibu dan kisah keluarga.

"Penonton di Malaysia pasti jatuh cinta dengan plot cerita dan pembinaan watak setiap karakter yang sarat dengan emosi kerana kisah tersebut boleh dan mungkin pernah berlaku kepada sesiapa sahaja.

"Apa yang ingin disampaikan menerusi drama ini ialah kita semua tidak dapat meramalkan apa yang bakal berlaku dalam kehidupan kita.

"Oleh itu, kita perlu sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur terutamanya dalam urusan keluarga dan menyayangi satu sama lain walau sesukar mana atau dalam apa jua keadaan sekalipun," ujar pengarahnya, Vishali Panch.

Siapa Jaga Mak dibintangi oleh Aishah Ahmad, Fauziah Zie, Suhaillah Salam dan Fadilah Samsudin selaku teraju utama di samping barisan pelakon seperti Hasif Nasir, Den Sabari, Fauzah Mohd Noor, Freda Mel, Iskandar Ismail, Johan Jaafar, Julia Tari, Khairudin Samsudin serta ramai lagi.

Sementara itu Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh pula mengatakan Astro menerima karya dari dalam dan luar negara khususnya negara serumpun asalkan pengisian tersebut cukup ramuan penting untuk disajikan kepada audiens.

"Tema dan garapan jalan cerita merupakan antara percaturan utama yang menentukan kejayaan sesebuah naskhah. Untuk menyentuh emosi sekaligus memikat cita rasa ramai, kedua- dua daya tarikan tersebut perlu berkait rapat dan dekat dengan kehidupan harian masyarakat yang menonton.

"Menerusi taruhan terbaharu Siapa Jaga Mak, kami bawakan sebuah lagi drama kekeluargaan yang diilhamkan daripada kisah benar di kalangan masyarakat.

"Mesej utama yang dapat dijadikan iktibar penonton ialah betapa setiap keluarga menghadapi rintangan dan konflik yang berbeza apabila menggalas tanggungjawab untuk menjaga seorang ahli keluarga yang sudah berumur atau uzur," katanya.

Drama Siapa Jaga Mak menceritakan tentang empat keluarga yang menghadapi pelbagai emosi dalam penjagaan orang tua. Dapatkah konflik keluarga, masalah kewangan dan peranan berbeza dapat dileraikan dan menyatukan keluarga ini atau sebaliknya?

Ia bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 5 Ogos 2021 di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.