Sebelum ini kecoh di media sosial apabila berlakunya penganiayaan terhadap monyet dan biawak di Taman Rimba Kiara dekat Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Berdasarkan gambar yang tular, badan beberapa ekor biawak dan monyet telah ditusuk dengan anak panah.

Difahamkan, satu laporan polis juga telah dibuat oleh Jabatan Landskap Negara berhubung kes kejam tersebut.

BACA: Kejamnya Terhadap Binatang, Monyet & Biawak Dipanah! Animal Malaysia Tawar Ganjaran

Susulan daripada laporan itu, polis kini sedang mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian penganiayaan itu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, sehingga kini hanya satu laporan polis diterima oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian sudah dibuat dan tiada sebarang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

"Setakat ini belum ada suspek dan tiada sebarang tangkapan yang dibuat oleh pihak polis.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan dan menangkap suspek yang terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah, Zairulnizam, polis Brickfields meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Safwan di talian 019-3811029.

Sumber : Harian Metro