Pelakon yang popular menerusi Mencintaimu Mr. Photographer, Hannah Delisha mengakui menginginkan lelaki yang sentiasa mengucapkan kata-kata manis sebagai kekasihnya.

Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birch, 21, berkata, sebagai seorang wanita dia berharap suatu hari nanti dapat bertemu seorang lelaki yang betul-betul mencintai dirinya.

"Kalau boleh sudah semestinya saya mahukan seorang lelaki yang pandai dan boleh mengeluarkan kata-kata manis kepada saya.

"Tetapi kata-kata yang dituturkan itu harus jujur dari hatinya dan bukannya sekadar ayat-ayat manis sahaja.

"Saya yakin lelaki seperti ini masih ada cuma buat masa sekarang saya masih belum jumpa dengan jejaka seperti itu.

"Saya rasa bukan saya sahaja yang menginginkan kerana semua wanita juga kalau boleh mahukan lelaki seperti itu," katanya kepada Astro Gempak.

Hannah berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai ciri-ciri lelaki idamannya dan watak yang dibawakan oleh Jemy di Majlis Tayangan Episod 15 Mencintaimu Mr. Photographer dan Sesi Ramah Mesra bersama peminat, di Cathay Cineplex, E@Curve, Damansara, baru-baru ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi