Penyanyi Ara Johari mengakui teruja terhadap penerbitan single baharunya yang berjudul Pasti Tiba.

Menurut pemilik nama lengkap Nurfarrah Izzatie itu, sungguhpun sibuk mengelolakan perniagaan makanan iaitu Ara Kitchen, namun, keutamaannya tetap pada bidang nyanyian.

“Saya kini sedang sibuk merencanakan sesuatu yang besar untuk Ara Kitchen, namun apakah ia? Masih belum masanya untuk dikongsikan lagi, dan saya akan khabarkan berita gembira ini bila tiba waktunya nanti.

“Namun begitu, cinta pertama saya tetap pada bidang nyanyian dan lagu Pasti Tiba merupakan buktinya. Sebelum ini, saya pernah meluncurkan lagu Sumpahan Salju yang lari dari genre yang biasa saya bawakan, tapi penerimaan daripada pendengar kesemuanya adalah baik-baik belaka dan mereka boleh menerimanya dengan hati terbuka,” katanya.

Menurut Ara, idea penghasilan lagu yang dijadikan runut bunyi bagi drama bersiri Jesnita itu tercetus daripada komposernya, Sharon Paul.

“Mula-mula kak Sharon dan abang Fedtri mahukan penyanyi lain tetapi saya dipilih akhirnya. Kesemuanya berlaku dengan begitu cepat, kira-kira tiga minggu sebelum lagu ini dilancarkan.

“Proses rakaman hanya memakan masa selama tiga ke empat jam sahaja dan proses penggambaran klip video mengambil masa sekitar sehari untuk disiapkan.

“Menurut abang Fedtri, lagu ini berkisar tentang seorang kekasih yang setia dan telah memberi sepenuh cintanya, namun tanpa diduga orang yang disayanginya itu dalam diam telah memungkiri janji dan berlaku curang, rasa kecewa dan hilang harapan menyelubungi diri dan dia seakan tidak tahu untuk bertindak.

“Akhirnya, dia berserah kepada Tuhan kerana yakin dengan hikmah-Nya, takdir dan balasan itu hanya milik Yang Maha Kuasa, hanya kesabaran menjadi penguat hati dalam menempuh episod sedih dalam perhubungan yang tidak kesampaian,” jelas Ara.

Lagu Pasti Tiba boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.


Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!