Sekilas
- Carian nama Raffi Ahmad di Google Indonesia melonjak lebih 5,000% selepas kehadirannya dalam acara Deklarasi Sumpah Pemuda Mahasiswa Indonesia 2026 yang mencetuskan kontroversi.
- Raffi memberikan penjelasan dan permohonan maaf menerusi video di media sosial, menegaskan dia hadir atas jemputan tanpa mengira pihak penganjur.
- Festival RANS Carnival yang dianjurkan Raffi dan isteri tetap diteruskan walaupun berdepan penarikan diri artis dan peniaga serta suasana dikatakan ‘sepi’.
Nama selebriti terkenal Indonesia, Raffi Ahmad sedang hangat dan menjadi perhatian ramai apabila carian berkaitan dirinya di Google Indonesia dilaporkan melonjak sehingga lebih 5,000 peratus berbanding tempoh sama minggu sebelumnya.
Berdasarkan data Google Trends, peningkatan mendadak itu menyebabkan carian nama suami kepada Nagita Slavina berkenaan dikategorikan sebagai 'Breakout' iaitu istilah yang digunakan bagi menunjukkan lonjakan carian yang sangat ketara.
Menariknya, Daerah Istimewa Yogyakarta muncul sebagai wilayah paling banyak membuat carian berkaitan Raffi, diikuti Jakarta, Banten, Jawa Tengah dan Kalimantan Timur.
Antara kata kunci yang paling banyak dicari dalam tempoh 24 jam terakhir termasuklah 'Raffi Ahmad kenapa', 'kenapa Raffi Ahmad' dan 'Raffi Ahmad kes'.
Selain itu, carian yang sedang meningkat atau rising queries turut memperlihatkan persoalan mengenai dakwaan mengapa Raffi perlu diboikot, lapor Detik.
Carian 'kenapa Raffi Ahmad diboikot' juga dikategorikan sebagai 'Breakout', sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai kontroversi yang sedang mengheret nama selebriti berkenaan.
Malah, nama beberapa individu yang mempunyai hubungan rapat dengannya turut muncul dalam senarai carian, termasuk Caca Tengker iaitu kakak kepada isterinya, Nagita Slavina.
Untuk rekod, nama Raffi mula menjadi bualan hangat sejak beberapa hari kebelakangan ini susulan kehadirannya dalam acara Deklarasi Sumpah Pemuda Mahasiswa Indonesia 2026 yang berlangsung di hadapan Pos Polis Thamrin, Jakarta Pusat, pada Khamis lalu.
Kehadiran Utusan Khas Presiden Bidang Pembinaan Generasi Muda dan Pekerja Seni itu bagaimanapun mengundang kritikan daripada beberapa pihak.
Susulan kontroversi berkenaan, Raffi tampil memberikan penjelasan menerusi satu video yang dimuat naik di media sosial, selain menyampaikan permohonan maaf serta menjelaskan niat baiknya menghadiri program berkenaan.
Menurut Raffi, dia sememangnya berusaha memenuhi setiap jemputan yang diterima tanpa mengira pihak yang mengundangnya, meskipun hanya berkesempatan hadir untuk tempoh singkat.
"Sudah menjadi kebiasaan saya sejak dahulu, setiap kali menerima jemputan daripada sesiapa sahaja, insya-Allah saya akan cuba untuk hadir walaupun hanya sebentar," katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polda Metro Jaya, Kombes Pol Budi Hermanto, sebelum ini mengesahkan kehadiran Raffi bersama pempengaruh, Willie Salim, adalah atas jemputan pihak polis selaku penganjur program tersebut.
Pihak polis turut menyampaikan permohonan maaf berhubung kontroversi yang tercetus dan menyatakan kesediaan menerima segala kritikan masyarakat sebagai bahan penilaian serta penambahbaikan penganjuran acara pada masa akan datang.
Tidak terhenti di situ, festival anjuran syarikat miliknya dan isteri, RANS Carnival berdepan gelombang penarikan diri artis dan peniaga susulan kontroversi melibatkan Raffi Ahmad.
Bagaimanapun ia tetap diteruskan di kawasan parkir Stadium Maguwoharjo, Sleman, Yogyakarta, pada 31 Oktober hingga 1 November 2026, namun didakwa ‘sepi’.
Terdahulu, kehadiran Raffi dalam program Deklarasi Sumpah Pemuda Mahasiswa Indonesia 2026 itu mencetuskan pelbagai reaksi sehingga namanya terus menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.