Hiburan
Siti Nordiana Elak Makanan Berlemak & Minum Ais Untuk Teater Dia Semanis Honey
Penyanyi Siti Nodiana akui elak mengambil makanan berlemak demi menjaga kesihatannya semata-mata untuk teater Dia Semanis Honey Muzikal.
Selain makanan, Siti Nordiana atau lebih mesra dengan panggilan Nana ini juga turut berpantang minuman berais.
“Nampak kurus? Saya rasa biasa saja sebab agak lama tak timbang berat badan dan mungkin disebabkan kesibukan kerja saya tak perasan badan dah susut.
“Nak kata diet itu tidaklah cuma saya elakkan makan makanan yang berlemak dan berkalori tinggi selain tak minum air yang berais.
“Mula-mula memang agak susah juga sebab saya seorang yang suka makan tapi untuk jaga kesihatan saya kena lakukan juga.
“Selepas sertai teater ini, saya harus mengambil kira faktor kesihatan kerana ia memerlukan saya untuk menyanyi dan berlakon.
“Jadi keadaan kesihatan dan suara saya harus berada dalam keadaan baik sewaktu pementasan nanti, sebab itu saya begitu berhati-hati dalam soal pemakanan supaya ia tidak memberikan kesan kepada suara saya nanti.
“Saya juga tidak menyentuh makanan pedas kerana tidak baik untuk vokal saya,” katanya ketika ditemui pada sidang media teater Dia Semanis Honey Muzikal bertempat di Istana Budaya pada Rabu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Dia Semanis Honey Muzikal, Nana memberitahu dia ada meminta tunjuk ajar daripada pelakon veteran, Fauziah Nawi.
“Ini kali pertama saya berlakon teater tipulah kalau tak ada rasa gementar. Memang benar sebagai penyanyi kita dah biasa buat persembahan depan orang ramai namun kali ini berbeza.
“Saya perlu buat dua kerja, menyanyi dan berlakon secara live, saya akui itu bukan perkara mudah. Khuatir jika tersilap lirik ataupun dialog.
“Tapi mujurlah ada ibu Fauziah Nawi yang banyak mengajar dan membantu saya tidak kiralah dari segi penghayatan watak mahupun lontaran suara.
“Saya ingin berikan yang terbaik untuk muzikal ini dan doakan semoga semuanya berjalan dengan lancar,” jelasnya.
Dalam perkembangan terbaru, Nana bakal tampil dengan single terbaru pada tahun depan.
Pementasan Dia Semanis Honey yang diarahkan oleh pelakon Dira Abu Zahar dan Syed Zalihafe Syed Alwee ini dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Januari 2017.
Selain Siti Nordiana, pelakon lain yang terlibat ialah Alif Satar, Nadya Syahera, Datin Nina Juren, Dafi Ismail Sabri, Ungku Hariz serta Marsha Milan Londoh.
Tiket-tiket boleh didapati dengan harga antara RM 40 hingga RM180 di laman sesawang www.airasiaredtic.com.
Teks oleh: Mya Amri
Kredit foto: @Hyperpicturessdnbhd
Must-Watch Video