Berita
Siti Nurhaliza Idam Bergelar Guru Pendidikan Jasmani & Bahasa Melayu
Sempena Hari Guru yang akan diraikan Khamis ini, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, membuat kemunculan dalam Komuniti AWANI khas sebagai menghargai golongan pendidik.
Menurut laporan Astro Awani, Siti Nurhaliza menjelaskan jika diberi peluang untuk menjadi seorang pendidik, dia ingin menjadi guru bagi subjek Pendidikan Jasmani dan Bahasa Melayu.
“Paling mudah, mata pelajaran Pendidikan Jasmani sebab saya minat bersukan. Saya memang gila sukan waktu sekolah.
“Tetapi kalau pelajaran lain, saya rasa saya suka Bahasa Malaysia kerana ia memang mata pelajaran kegemaran saya,” katanya.
Sebagai menghargai jasa guru yang telah mendidiknya, ini ucapan khas Siti Nurhaliza buat insan yang menjadi pelita hidup buatnya.
"Kepada semua guru yang pernah mendidik saya sejak daripada sekolah tadika sampailah sekolah menengah, dan juga guru dalam kehidupan saya.
"Saya nak ucapkan terima kasih yang tak terhingga. Hanya Allah sahaja yang akan membalas setiap jasa anda. Anda adalah insan yang banyak memberikan manfaat kepada diri saya dalam menjadi orang yang berjaya," katanya.
Penampilan Siti Nurhaliza menerusi Komuniti AWANI boleh ditonton pada Hari Guru, 16 Mei, jam 8.15 malam di saluran 501 Astro AWANI.
Must-Watch Video