Penyanyi rap dan anggota kumpulan K-Clique Somean bergandingan dengan bintang rap Alan D dan AxelJonas dalam single terbaru berjudul Jauh.

Lagu yang menyajikan rentak dan bunyi segar ini, dihiasi dengan senikata yang mengangkat tema hubungan cinta jarak jauh.

Mengulas tentang tema lagu ini, Alan D berkata, Jauh mengambil inspirasi daripada krisis kesihatan yang melanda dunia sekarang,

“‘Jauh’ merupakan pengisytiharan cinta antara pasangan yang saling merindui, tetapi tidak boleh kembali ke pangkuan masing-masing kerana terhalang oleh sekatan perjalanan global.

“Jarak jauh bukan penghalang untuk terus mengeratkan lagi hubungan cinta. Seperti maksud peribahasa Inggeris ‘Absense makes the heart grow fonder’,” katanya.

Sementara itu AlxelJonas pula berkata, lagu Jauh juga akan memberikan kesedaran tentang betapa pentingnya kehadiran orang yang kita sayangi di sisi.

“Apabila orang tersayang tidak berada di sisi kita, akan menimbulkan rasa rindu yang amat mendalam, sekaligus menyedarkan kita betapa kita kasih dan memerlukan kehadiran seseorang itu dalam hidup kita.

“Lagu ini bagi meraikan kecekalan pasangan diluar sana yang sedang terpisah jauh menanti waktu kembali bersama,” jelasnya.

Tambah Somean pula, Jauh memberi mesej mendalam kepada semua tentang betapa mendalamnya perasaan cinta walaupun masing-masing terpisah jauh.

“Bak pepatah Melayu, ‘jauh di mata, dekat di hati’. Walaupun terpisah jauh dengan orang yang tersayang, perasaan cinta terhadapnya tetap utuh.

“Walaupun dibatasi jarak fizikal yang jauh beribu batu, kehadirannya masih terasa dekat. Mempunyai hubungan jiwa yang kuat sehinggakan jarak pun tidak mampu menjadi batu penghalang.

“Itulah yang cuba kami gambarkan dalam lagu ini,” katanya.

Karya ciptaan bersama Alan D, AxelJonas, Somean K-Clique ini diterbitkan oleh Def Jam Malaysia dengan kerjasama Universal Music Malaysia sebagai pengedar.

Jauh sudah boleh didapati di platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music pada 28 OGOS 2020 lalu.

Manakala video muzik rasmi lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.