Drama siri originals Sooka, Kau vs Aku yang menjadi trending di TikTok sehingga berjaya meraih lebih daripada 200 juta tontonan sejak diluncurkan pada 19 Ogos lalu telah melabuhkan tirai dengan tayangan episod akhirnya, semalam.

Apa yang menarik lagi, Sooka turut mengadakan sebuah majlis tayangan episod akhir drama itu bersama barisan pelakon Kau vs Aku bertempat di The Bee, Publika, Damansara, Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Menurut Ketua Rancangan Sooka, Emarina Mohd Kamal, pencapaian tinggi yang berjaya diraih menerusi drama itu sekaligus menjadi pendorong kepada pihaknya untuk terus menghasilkan drama yang berkualiti.

"Kau vs Aku dicipta untuk memenuhi selera penggemar permainan atas talian, penulis novel dan remaja di Malaysia, dan kami berasa gembira dengan sambutan yang amat positif daripada peminat drama ini.

“Jumlah tontonan melebihi 200 juta di laman Tik Tok merupakan penanda aras bagi permintaan tinggi peminat terhadap siri ini.

“Ini menjadi pendorong kepada kami untuk terus bekerja bersama pencipta kandungan dan syarikat produksi terbaik industri bagi menyiarkan lebih banyak kandungan hiperlokal yang relevan untuk hiburan penonton kami," katanya.

Sooka Bersama Webnovel Wattpad

Dalam pada itu, siri originals Kau vs Aku ini juga menandakan pencapaian baharu sooka dalam bentuk kerjasama dengan Wattpad yang benar-benar selari dan memenuhi selera generasi muda di Malaysia.

Webnovel Wattpad Kau vs Aku yang asal telah mencatatkan lebih dua juta bacaan dan memenangi pertandingan Wattys 2017, iaitu anugerah yang mengiktiraf cerita terbaik di platform TikTok.

​Kau vs Aku merupakan hasil kerjasama antara Sooka dan Wattpad WEBTOON Studios, iaitu cabang penerbitan dan hiburan global yang dipacu oleh peminat Wattpad sert WEBTOON.

Produksi baharu ini telah membolehkan Wattpad WEBTOON Studios untuk terus berinteraksi bersama komuniti tempatan Wattpad yang terdiri daripada lebih 1.4 juta orang di Malaysia.

Pengarah Dan Pelakon

Kau vs Aku dibawakan oleh tiga pengarah iaitu Shamyl Othman, Megat Shahrizal dan Siti Afizah.

Drama ini turut menampilkan barisan pelakon yang sedang meningkat naik seperti Dini Schatzmann, Shasha Abdul, Mia Sara Shauki, Chubb-E dan Atikah Suhaime.

Penononton boleh menyaksikan keseluruhan episod penuh termasuk episod akhir Kau vs Aku melalui koleksi boxset yang ditawarkan Sooka.

Untuk makluman dan promosi terkini, jangan lupa mengikuti Sooka di Facebook dan Instagram atau layari sooka.my .