Dalam menyajikan kandungan pendidikan yang segar dan menghiburkan, sebuah rancangan bercorak ‘eduaiment’ SPM PRO+ diperkenalkan untuk ditonton seisi keluarga.

Lebih menariknya kali ini, program SPM PRO+ ini melibatkan barisan tutor untuk memberi lebih pemahaman kepada penonton.

Barisan tutor ini terdiri daripada Iqbal Ahyar, Ifwat Rosdi, Syahmi Azizi, Syuhadak Seplee, Maryam Khan dan Farez Atan dan PU Azman yang masing-masing dengan misi utama untuk membantu pelajar mencapai sukses dalam SPM mereka.

Menurut Yasmin Yahya, Penolong Naib Presiden, Penciptaan Kandungan - GenNext Studio Astro, pihak mereka telah menjalankan kajian menyeluruh terhadap sesi pembelajaran semasa pandemik dan ia ternyata mencabar para pelajar.

“Sesi pembelajaran semakin mencabar di kalangan pelajar sekolah, terutamanya kepada mereka yang sedang bersiap sedia untuk menduduki peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Oleh sebab itu, dalam usaha untuk membantu pelajar-pelajar ini, kami telah mencipta kandungan baharu, SPM PRO+ bertujuan
untuk mengurangkan tekanan mereka semasa menghadapi peperiksaan ini kelak.

“Menerusi rancangan akademik baru ini, kami telah mengumpulkan pasukan "pro" yang terdiri daripada tutor muda dan popular yang boleh menjadikan sesi pembelajaran lebih menyeronokkan, namun pada masa yang sama kekal bermanfaat,” ujarnya ketika majlis sidang media pelancaran SPM PRO+ yang diadakan secara maya pada Isnin.

Selain beri manfaat, siri ini juga bertujuan untuk mengurangkan tekanan pelajar semasa mereka menyiapkan diri untuk peperiksaan SPM akan datang menerusi kaedah yang lebih canggih dan kontemporari.

SPM PRO+ merangkumi semua mata pelajaran teras seperti bahasa Melayu, bahasa inggeris, sains, matematik, sejarah, pendidikan moral dan pendidikan Islam yang mana setiapnya mengikuti format Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) terkini.

Terdapat sejumlah 180 episod dalam siri ini dan setiap episod berdurasi 7 minit.

Saksikan SPM PRO+ On Demand dan di Astro GO atau tonton setiap hari dari Isnin hingga Sabtu pukul 9.00 malam di saluran Astro Tutor TV (CH603).

Semua program pendidikan Astro boleh distrim melalui aplikasi Astro GO dan On Demand menerusi Astro PVR Box atau Ultra Box. Dapatkan matlumat lebih lanjut di https://astro.com.my/HowTo.