Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan apabila disimbah minyak panas selepas dipercayai menyuruh isterinya menggoreng ikan.

Kejadian di Nusa Tenggara Barat, Indonesia itu berlaku pada jam 4.30 petang 31 Julai lalu.

Menurut Ketua Polis Madapangga, Iptu Ruslan, mangsa dikenali sebagai Anwar, 50 dikatakan mengalami lecur di muka dan badan.

Menurutnya, wanita yang bertindak menyiram minyak panas itu walau bagaimanapun telah ditahan selepas keluarga mangsa membuat laporan.

"Anggota polis terus ke kampung itu untuk menahan suspek sebaik menerima laporan.

“Suspek kemudian dibawa ke balai polis Bima untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut Iptu, berdasarkan keterangan awal anak kandung mangsa, ibunya melakukan tindakan tersebut selepas mangsa meminta dia menggoreng ikan.

"Ketika mangsa baring, tiba-tiba suspek datang mencurah minyak goreng panas ke atas suaminya," katanya.

Difahamkan, mangsa telah pun ke Hospital Madapangga oleh jirannya sebaik kejadian itu berlaku.

Sumber: Kompas