Penyanyi dan komposer terkenal Ajai mempertahankan sahabatnya, Datuk Syafinaz Selamat yang dikecam susulan persembahan beliau pada Konsert Ini Baru Bintang 3 terbitan RTM, baru-baru ini.

Jelas Ajai, seseorang yang bergelar juri tahu mengenai undang-undang dalam sesuatu bidang berdasarkan ilmu dan pengalaman mereka.

"Kita jangan perlekehkan ilmu dia. Kalau dia berijazah, takkan kita nak meremehkan.

"Mungkin orang tak biasa dengar Syafinaz menyanyi soprano, sebab itu bukan muzik pasaran Malaysia. Seperti kita boleh lihat, tak semestinya pengadil di padang bola itu pandai bermain bola sepak.

"Tapi, dia tahu undang-undang di padang. Itu sebabnya saya cakap muzik bukan sekadar hobi, ia adalah mata pencarian," ujarnya kepada Gempak.

Ajai ditemui pada sidang media Konsert Exists Borneo Tour, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada Rabu berkata, dia juga terbuka menerima kritikan netizen biarpun sudah lama bergelar penyanyi, komposer dan juri rancangan realiti nyanyian.

"Kita tak mengharapkan kita menyanyi dahsyat bila kita bagi komen pada seseorang penyanyi itu. Tapi, kita tahu mengenai undang-undang nyanyian dan rata-rata tahu Syafinaz adalah pensyarah dan saya pula penerbit.

"Saya sudah mula menjadi penerbit sejak 1989 sampai sekarang dan saya sudah bekerja dengan semua orang. Tapi, pada saya netizen ada hak juga untuk bercakap sebab dalam hiburan ini tiada undang-undang yang melarang sesiapa untuk bersuara.

"Orang yang tak boleh nyanyi pun boleh buat album, jadi tiada undang-undang dalam hiburan. Tapi kami memberitahu apa yang kami tahu berdasarkan ilmu pelajaran kami dan sebab itu kami kekal sampai sekarang. Ia kerana pengalaman dan ilmu kami.

"Tohmahan daripada netizen itu tak mengapa. Itu hak mereka sama ada mereka nak suka atau tidak. Kadang-kadang dia cakap tak suka, bila jumpa di luar pun dia tangkap gambar. Disebabkan itu pada saya tohmahan netizen itu tiada apa-apam" tambahnya.

Dalam pada itu, Exists bakal mengadakan Konsert Exists Borneo Tour pada 17 Disember ini di Borneo Convention Centre, Kuching dan 30 Disember di Sabah International Convention Centre, Kota Kinabalu.

Terdahulu, Syafinaz yang juga juri tetap All Stars Gegar Vaganza menerima segala kritikan itu dengan hati terbuka.

Katanya, kritikan itu langsung tidak menyakiti hatinya sebaliknya membuka ruang untuk memperbaiki diri.

"Sebagai penghibur, saya faham banyak pihak suka mengkritik. Tak mengapa dan saya terbuka menerima kritikan. Kalau saya rasa kritikan itu betul, saya terima dan perbaiki diri," katanya.

BACA: Dikritik Suara Hauk, Syafinaz Selamat - “Kalau Orang Kata Tak Sedap, Tak Apa Saya Terima”