Angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, melahirkan rasa syukur apabila mendapat tahu seorang kanak-kanak Palestin yang pernah dikenalinya pada 2014 masih hidup.

Menurut doktor bedah ortopedik itu, kanak-kanak tersebut dikenali sebagai Ashaq kini sudah meningkat remaja dan antara pemuda yang mempertahankan Baitulmaqdis dan tanah mereka daripada serangan rejim Zionis.

“Syukur dia masih hidup. Anak kecil ini namanya Ashaq. Saya jumpa dia ketika dia masih kecil lagi.

“Alhamdulilah dia masih hidup, masya-Allah. Moga Allah lindungi seluruh rakyat Palestin ketika waktu sukar ini,” katanya.

Muszaphar berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.

Menerusi posting tersebut, beliau berkongsi foto Ashaq sewaktu dahulu dan terkini dimana kedua-duanya bergambar di hadapan Masjid Al-Aqsa.

Posting berkenaan mendapat pelbagai komen warganet yang turut bersyukur apabila menerima perkhabaran tersebut selain menitipkan doa buat seluruh rakyat Palestin agar dilindungi Yang Maha Esa.

Termasuk penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang akui pernah berjumpa dengan Ashaq.

“Masa Siti dan rombongan ke sana pun Ashaq sama sama bantu kami.. Alhamdullillah , semoga Allah SWT melindunginya..,” komennya.

Sehingga kini, konflik Palestin-Israel masih belum menemui jalan penyelesaian walaupun hampir seluruh warga dunia mengutuk tindakan kejam rejim pengganas.
\

A post shared by Dr Sheikh Muszaphar Shukor (@drsheikhmuszaphar)