Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Mungkin itu situasi sedang menimpa seorang ahli politik apabila mengulas angka korban akibat nahas banjir.

Menerusi platform Twitter, ahli politik berkenaan seakan-akan meluahkan rasa syukur apabila hanya sedikit saja nyawa yang terkorban.

“Kita bersyukur hanya sedikit sahaja nyawa terkorban dalam musibat banjir ini.

“Semoga Allah lindungi kita. Jom stop maksiat dan minimum kan dosa,” katanya.

Kenyataan tersebut membuatkan ramai yang ‘naik hantu’ apabila kebanyakan mereka menyifatkan ia seperti kurang sensitif.

Malah, orang ramai turut memberi amaran kepada ahli politik supaya menjaga tutur kata dan tidak tersilap langkah ‘tersalah bual’ apabila membabitkan isu nahas seperti banjir yang sedang berlaku ketika ini.

“Salah bual ni, agak-agaklah bersyukur sebab tak ramai terkorban. Ada yang dua tiga hari terperangkap kot”

Seriously tweet macam ni, yang terkorban tu manusia tau, sedikit je terkorban?”

“Kalau tak ada apa nak cakap baik diam je lah,” tulis beberapa netizen.

Sementara itu, menerusi pemantauan Gempak, ahli politik berkenaan telah pun memadamkan ciapan tersebut.



Sekadar info, sehingga jam 7.30 malam hari ini, jumlah korban banjir di Selangor sehingga kini adalah 10 orang.

Di Sri Muda, Shah Alam, enam mayat ditemukan termasuk dua dipercayai ibu dan anak yang dibawa keluar kira-kira pukul 4 petang, tadi.

Dua lagi mangsa maut dipercayai lemas dalam kejadian berasingan di Dengkil, Sepang dengan identiti mereka belum dikenal pasti.

Sementara itu, satu lagi kes maut adalah membabitkan seorang lelaki dipercayai pemandu treler yang ditemui di Desa Coalfields, Kuala Selangor, semalam.

Terbaru, satu lagi mayat mangsa banjir dikeluarkan dari kawasan perumahan Taman Sri Muda, Shah Alam pada jam 7.30 malam hari ini.