Pasangan DIraja Britain, Putera Harry dan Meghan Markle bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi.

Berita gembira itu diumumkan secara rasmi oleh mereka pada Ahad.

Pengumuman tersebut juga turut disertakan dengan foto hitam putih merakamkan wajah Putera Harry tersenyum sambil memandang isteri yang berbaring diatas pehanya sambil memegang ‘baby bump’.



Menurut jurucakap pasangan berkenaan, Putera Harry dan Meghan sudah tidak sabar menunggu kehadiran anak kedua.

“Kami boleh mengesahkan bahawa Archie bakal menjadi seorang abang. The Duke dan Duchess of Sussex sangat gembira dengan kehadiran cahaya mata kedua mereka,” katanya.

Bagaimanapun buat masa ini pengumuman berkenaan tidak menyatakan tempoh kehamilan Meghan.

Putera Harry dan Meghan berkahwin di Gereja St George di Istana Windsor, United Kingdom pada Mei 2018.

Hasil perkahwinan itu, pasangan ini telah dikurniakan seorang anak lelaki, Archie Harrison Mountbatten-Windsor pada 6 Mei 2019.

Bagaimanapun, Meghan pernah mengalami keguguran pada Julai tahun lalu.

Untuk rekod, Putera Harry dan Meghan sebelum ini menarik diri daripada tugas-tugas diraja dan mahu hidup berdikari.

Sumber: People.com