Penyanyi berbakat, Aina Abdul akui nama pentasnya dalam industri hiburan bukan dipilih sesuka hati.

Menurut pelantun lagu Semalam ini, nama Aina Abdul itu melambangkan dirinya yang sebenar.

"Penjenamaan seseorang artis ini bukanlah perkara baru, dan untuk nama saya, Aina Abdul itu bukanlah saya main petik sesuka hati.

"Sebenarnya nama Aina Abdul menunjukkan diri saya yang sebenar, dulu, ketika saya sertai Mentor, ramai yang ingat saya jenis yang menyanyi balada dan pakai dress.

"Tapi apabila saya kembali menyanyi di kelab selepas itu, lagu-lagu yang saya nyanyikan lebih kepada elemen barat, jadi, saya sedar saya bukanlah membawa imej Muslimah sepenuhnya," katanya kepada Gempak.

Tambah Aina, perwatakan dirinya adalah lebih kepada seorang gadis yang nakal, namun mungkin segelintir peminat yang mengikutinya sejak awal kemunculan menyangka dia sudah berubah.

"Saya sebenarnya naughty dan cheeky, jadi, saya pilih nama Aina Abdul kerana ia sebahagian dari diri saya yang sebenar.

"Cuma, peminat yang mengikuti dari dulu mungkin sangka saya berubah, padahal apa yang saya pamerkan sekarang adalah diri saya yang sebenar," katanya lagi.

Aina akan mempertaruhkan lagu ciptaan penuh dirinya sendiri, Semalam di pentas Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) Ahad ini.

Semoga kejayaan memihak kepada Aina!