Penyanyi, Azhar akui tidak mencemburui kejayaan ahli bekas duonya, Hael Husaini yang kini sedang hits dengan lagu Jampi selepas bergerak solo.

Azhar atau nama sebenarnya Mohd Azhar, 29, berkata meskipun sudah berpisah, namun dia tetap menyokong rakannya itu dari jauh.

"Saya tumpang berbangga dengan kejayaannya, tidak perlu untuk mencemburuinya.

"Kami sudah membawa haluan masing-masing sejak berpisah. Meskipun tidak lagi bersama saya tetap menyokongnya dari jauh.

"Lagipun, minat kami berbeza kerana dia suka menyanyi solo, manakala saya suka menyanyi dalam berkumpulan dan harmoni," katanya kepada Astro Gempak.

Pun begitu, Azhar akui bernasib baik kerana selepas bergelar naib juara di Akademi Fantasia 2013 (AF2013) ketika bersama Azhael telah memberinya peluang untuk meneruskan minatnya dalam bidang seni.

"Meskipun sudah berpisah, saya masih lagi menerima undangan nyanyian dan saya bercadang untuk terus fokus menyanyi.

"Selepas ini saya merancang untuk keluar dengan single terbaharu yang memperkenalkan jenama saya sendiri.

"Namun saya tidak nafikan, akademi fantasia adalah platform yang terbaik buat diri saya dan saya perlu menggunakannya dengan sebaik mungkin.

"Selepas akademi fantasia juga saya banyak menerima tawaran berlakon dan saya dapati bakat lakonan saya juga semakin baik.

"Saya bersyukur kerana saya boleh kata karier seni saya berkembang selepas akademi fantasia," katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Azhar baru sahaja menjalani penggambaran drama bersiri Isteriku Mem Besar untuk TV9.

Teks oleh: Syafiqah Jalal