Selepas hampir dua tahun tidak mengeluarkan ‘produk’ terbaru, penyanyi berbakat Syafiq Farhain akhirnya tampil dengan single berjudul Kau Bidadari.

Hasil ciptaan Asfan Shah dan lirik oleh Fedtri Yahya, lagu tersebut menterjemahkan makna tersendiri khususnya kepada insan tersayang.

Menurut Syafiq, lagu tersebut masih berentak balada dan dia merasakan suaranya serasi dengan irama sebegitu.

“Bukan tak pernah cuba genre lain, selalu juga bila karaoke saya nyanyi lagu lain.

“Malah ketika pertandingan Big Stage dulu, saya kan pernah nyanyi lagu genre lain, Aku Jatuh Cinta.

“Ok je kalau ada lagu yang bersesuaian, pasti saya cuba genre baharu. Buat masa sekarang, biarlah saya tumpu pada balada dulu,” katanya kini bertugas dengan pasukan Bomba Putrajaya.

Ditanya adakah lagu Bidadari itu dituju kepada seseorang yang istimewa dalam hidupnya, Syafiq menjelaskan ia adalah seorang wanita.

“Semua orang tahu yang bidadari itu adalah wanita.

“Mungkin jawapan ini agak ‘cliche’, tapi bila saya nyanyi lagu ini saya bayangkan mak saya.

“Kalau dengar balik dan faham lirik, sebenarnya lelaki tak boleh hidup tanpa wanita.

“Terpulang kepada pendengar, mereka nak bayangkan bidadari itu adalah mak, adik, kakak atau pasangan masing-masing.

“Bila saya nyanyikan lagu ini saya terbayangkan mak saya dan saya boleh dapat feel lagu ini,” katanya.

Difahamkan, lagu tersebut sebenarnya sudah dirakam sejak 2019 dan kini Kau Bidadari sudah boleh didengar menerusi platform penstriman.

Malah, video muzik lagu ini telah dimuat naik dalam saluran YouTube MVM Music sejak 14 Jun lalu dan hingga kini sudah ditonton lebih 68,000 kali.