Penyanyi bersuara lunak, Ernie Zakri mendedahkan yang dia tidak mengalami sebarang rasa alahan melampau atau mengidam makanan serta benda yang pelik.

Namun, pelantun lagu Gundah itu mengakui lebih kerap mendengarkan lagu-lagu sedih sepanjang empat bulan kehamilannya ini.

“Saya sendiri tidak pasti kenapa saya kerap mendengarkan lagu-lagu sedih sepanjang kehamilan.

“Benar, lagu-lagu saya kebanyakannya bergenre balada yang sedih. Tetapi, tidaklah saya dengar lagu sedih dengan kerap sewaktu sebelum hamil,” katanya kepada Gempak sambil tertawa kecil.

Begitupun, Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 29, berkata, emosinya tidak terganggu walaupun selera muziknya berubah.

BACA: Fuh! Lepas Kahwin Ernie & Syamel Terus Keluar Single Romantis ‘Goodbye Hello’

“Walaupun suka mendengar lagu-lagu seperti itu, tetapi saya dan kandungan tidak dipengaruhi dengan emosi sedih. Semuanya baik-baik belaka, alhamdulillah,” tutur Ernie positif.

Dalam perkembangan lain, Ernie memberitahu yang dia kini sudah bersedia untuk kembali bekerja.

“Saya sudah mula beli baju dan seluar baharu sebab pakaian lama sudah tidak muat. Lagipun, saya akan kembali bekerja semula untuk melunaskan segala projek yang tertangguh sebelum ini.

“Selain itu, saya akan memasuki studio rakaman untuk merakamkan single terbaharu. Insya-Allah kalau ikut jadual, lagu yang masih belum diberi judul tersebut akan dilancarkan beserta klip video pada Disember kelak.

“Saya harap, lagu tersebut boleh menjadi ubat rindu peminat yang menantikan buah tangan terbaharu sejak single Boneka,” ujar Ernie.

Ditanya adakah Ernie risau jika kemampuan untuk menyanyi akan berkurang saat selepas dia melahirkan anak kelak, jawab Ernie: “Jujurnya, penyanyi perlu sentiasa berlatih agar kemampuan nyanyian sentiasa berada pada tahap yang baik. Bagi saya, tempoh berpantang selama 40 hari merupakan masa yang agak lama buat seseorang penyanyi itu ‘berehat’.

“Tapi saya yakin, dengan adanya teknik latihan yang betul, seseorang penyanyi itu mampu menyanyi dengan baik walaupun selepas bersalin,” katanya lagi.

Ernie mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Syamel pada 26 Mac lalu di Masjid Puncak Alam Selangor. Jika mengikut perkiraan, Ernie dijangka akan melahirkan cahaya matanya pada Mac tahun depan.