Pengarah dan penerbit terkenal, Michael Ang enggan nama industri kreatif tercemar gara-gara tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak.

Menurut Michael, dia berharap agar semua syarikat produksi tempatan mengambil serius isu pelakon atau kru yang didapati terlibat dalam penggunaan dadah.

“Sebenarnya tentang dadah ni memang satu benda yang saya pantang sebab saya dah cakap dengan orang-orang di set, saya tak nak ambil tahu apa anda buat di luar, itu kau punya fasal. Janji bila datang set saya, jangan buat benda itu semua.

“Kau nak keluar nak buat benda itu semua kau punya fasal, itu hidup kau, saya tak kawal. Saya bukan ibu bapa kau nak kawal korang. Tapi sekurang-kurangnya bila datang set tolong hormat orang lain juga!” tegasnya.

Tambah Michael lagi, sekiranya insiden seperti itu terjadi sekali lagi ia tidak hanya melibatkan seorang individu sebaliknya seluruh produksi dan nama-nama pelakon lain juga turut diheret.

“Anda semua kena faham, kalau sorang yang kena bukan hanya dia sahaja sebaliknya semua orang punya periuk nasi dikacau.

“Katakanlah satu kru itu sahaja yang kena tetapi ia tetap melibatkan nama satu produksi, tak fasal-fasal orang lain yang kena. Mereka pula yang akan dilabel sebagai set kaki ambil ganja,” katanya.

Michael berkata demikian sewaktu sidang media secara virtual untuk drama terbaharu arahannya yang berjudul Sihir, pada Rabu.

BACA: Ada Apa Dengan Sihir? Kamal Adli, Hun Haqeem Okay Tak Tu?

Dalam pada itu, Michael juga menyatakan rasa setuju dengan cadangan melakukan ujian air kencing sebelum pihak produksi memulakan penggambaran.

Bagaimanapun perkara itu haruslah melalui proses perbincangan terlebih dahulu kerana melibatkan banyak pihak.

“Kalau boleh saya memang sangat setuju dengan cadangan semua yang terlibat dengan produksi kena ambil ujian air kencing terlebih dahulu sebelum masuk set. Ini semua untuk keselamatan bersama.

“Pada sekiranya ujian itu adalah sesuatu yang kita harus lakukan, saya akan cari jalan. Lagipun ini untuk keselamatan dan saya rasa perkara itu juga merupakan sesuatu yang sihat untuk industri.

“Kalau boleh dipraktikkan, dipraktikkan. Tetapi saya faham banyak perkara yang perlu diambil kira dan kena berbincang.

“Duduk berbincang dengan semua pihak bukan seorang sahaja, sebab saya juga faham kos untuk buat semua benda itu juga tidak murah, boleh dikira sebagai kos tambahan,” jelasnya.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!

Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!