Viral
"Tak Perlu Tayang Rumah Besar, Kereta Mewah" - Pengasas ChocoAlbab
Pelbagai cara digunakan sesetengah pengusaha produk termasuklah strategi melawan arus untuk lebih popular dan viral seperti mempamerkan kekayaan masing-masing.
Namun, bagi pengasas syarikat Saudagaar Asia (S-Asia) menerusi jenama produk tub makanan ringan berasaskan coklat dan bijirin, ChocoAlbab, Said Saiful Fazli memilih cara konvensional dalam dalam menentukan hayat dan keberadaan jenamanya.
"Sebelum mempunyai jenama produk sendiri, saya pernah 13 tahun bergelar ejen menjual produk orang lain. Apabila saya berjaya buat ‘sales’ atau melonjakkan jualan, pihak ibu pejabat sangat meraikan saya. Sebab itu apabila di posisi sekarang, saya terus praktikkan benda sama kerana saya sangat memahami apa yang ejen mahukan.
"Lumrah dalam hidup, kita akan rasa dihargai apabila setiap kerja dilakukan berbaloi dengan hasil dimiliki. Lebih daripada itu, kita dihargai dengan anugerah atau pelbagai ganjararan untuk menyuntik semangat bekerja. Macam pelakon dan penyanyi, bakat mereka diiktiraf dengan trofi anugerah.
"Selama ini ejen sayalah yang banyak buat jualan untuk syarikat. Jadi tak salah untuk syarikat meraikan dan menghargai mereka. Bukan banyak kos pun untuk semua itu dan nak dibanding dengan usaha ejen melonjakkan jenama dan jualan produk," katanya.
Tayang rumah besar, kereta mewah
Jelas Said sehingga kini, dia belum terlintas untuk menggunakan modus operandi sensasional seperti menayang kereta mewah dan rumah besar demi populariti."Bagi saya segelintir syarikat atau ‘founder’ memilih sensasi cara viral mungkin ada kebaikan dan kelebihannya. Saya tak boleh menghukum dan tak berhak mengadili apa cara sekalipun. Cuma bagi diri ini, saya tak memilih cara itu sebab tak mahu jenama produk hanya meledak popular sekali atau bermusim saja.
"Bayangkan apabila viral sekali saja, mulalah ada kes produk di ‘restock’ tapi ejen tak dapat jual dalam tempoh masa tertentu. Malah di ChocoAlbab, kami tak amal cara begitu kerana tak mahu ejen terkesan mengeluarkan modal besar.
"Saya selalu berpesan kepada ‘anak team’, kalau jual produk viral ini kemungkinan permintaan bertahan satu ketiga bulan saja. Lepas itu, sudah tak boleh cari makan. Cukup dapat jual produk yang konsisten dan ‘evergreen’ macam jenama Milo contohnya yang terus bertahan hingga sekarang," katanya.
Dah rekrut 25,000 ejen
Bagaimanapun kata Said lagi, sejak jenama itu diperkenal dan dilancarkan April 2021, dia lebih mengutamakan penghargaan buat ejen dan menerapkan nilai kebersamaan sehingga berjaya merekrut lebih 25,000 ejen sehingga kini.“Dalam syarikat saya, kami terapkan nilai ‘togetherness’ atau kebersamaan dalam menghargai keberadaan ejen. Perkataan itulah umpama azimat dan kata sakti yang dilaungkan saban waktu.
“Buat apa sama-sama. Biar kaya dan berjaya sama-sama. Jadi itulah yang menjadi halatuju dan tujuan dalam syarikat. Jadi, di ChocoAlbab cara berkenaanlah menjadi salah satu usaha melonjakkan jenama yakni dengan membolehkan ramai ejen berjaya dengan kita. Apabila berjaya sama-sama, insya-Allah kita boleh kekal lama,” katanya.
Tambah Said lagi, dia percaya apabila wujud konsep ramai ejen yang mempromosi jenama produknya, maka di situ ada potensi lonjakkan nama ChocoAlbab.
“Kata kunci di sini, ejen adalah mustahak. Saya takkan melupakan jasa mereka yang berusaha keras menaikkan jenama. Malah ramai ejen saya yang sudah nikmati bonus dan pelbagai rezeki dengan menjual produk ini. Malah syarikat baru saja pulang bercuti menerusi percutian mewah ke Club Med Cherating dan Splash Mania Water Park, Banting.
“Seramai 450 ejen berpeluang menikmati ganjaran percutian itu. Pendek kata, selain memberi ganjaran anugerah dan hadiah, syarikat banyak melaburkan wang untuk pemasaran untuk ejen atau saya sebut sebagai ‘anak team’. Tiga kali seminggu ada kelas coaching untuk mereka.
“Begitulah putaran kerja di sini, selepas ejen bekerja keras mendapatkan hasil diingini, mereka layak diberi ganjaran. Itulah teknik dan resipi saya membina komuniti ChocoAlbab. Yakni membina ‘anak team’ yang berjaya, dihargai dan sekaligus melahirkan usahawan cemerlang,” katanya.
Must-Watch Video