Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkongsi pengalamannya selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 yang menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini.

“Saya tak rasa apa-apa pun. Saya tunggu sekejap tengok dah habis, macam suntikan biasa. Jangan bimbang tampil ke hadapan bila-bila masa,” katanya pada majlis yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.

Muhyiddin yang meluahkan rasa bersyukur dengan suntikan vaksin berkenaan menyatakan keyakinan bahawa vaksin tersebut selamat dan berkesan.

Malah, beliau merayu seluruh rakyat serta mereka yang tinggal di negara ini supaya tampil mendaftar melalui aplikasi MySejahtera supaya dapat ditentukan giliran penerimaan suntikan vaksin COVID-19.

“Jadi, yakin dan percayalah bahawa usaha yang dibuat oleh pihak kerajaan ini untuk menentukan kita dapat memutuskan rantaian COVID-19 ini, insya-Allah akan berjaya.

“Saya ingin sekali lagi menyeru supaya kita bersama-sama mendukung usaha untuk menentukan negara kita nanti, insya-Allah dalam satu tempoh masa yang singkat akan bebas daripada wabak Covid-19 ini,” katanya.

Sebentar tadi, Perdana Menteri menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Putrajaya, antara Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikenal pasti bagi program imunisasi terbesar negara itu.

Turut menerima suntikan pertama dan merupakan antara yang terawal menerima vaksinasi dalam program imunisasi itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM).


Sumber: Malaysia Kini