Kehangatan filem Hantu Kak Limah semakin dirasakan! Bakal menemui penonton di pawagam pada 9 Ogos ini, trailer filem ini telah pun dimuat naik menerusi saluran YouTube Astro Shaw.

Menerusi trailer rasmi pertama yang berdurasi satu minit, netizen memberikan respon yang baik terhadap filem ini.


Di ruangan komen YouTube Astro Shaw, peminat sudah tidak sabar menunggu tanggal 9 Ogos untuk menonton filem Hantu Kak Limah di pawagam.

Rata-rata netizen juga berharap agar filem ini lebih kelakar berbanding filem-filem sebelum ini.

Masih mengekalkan genre komedi seram ini, filem ini mengekalkan penampilan tunggak utama iaitu Dalimawati sebagai Kak Limah dan Datuk Awie sebagai Husin.

Manakala barisan bintang lain yang membintangi Hantu Kak Limah ialah Zul Ariffin, Ropie Cecupak, Uqasha Senrose, Mus May, Allahyarham Rab Khalid, Pekin Ibrahim, Sharwani, TJ Isa, Jue Aziz, Sabri Yunus dan ramai lagi.

Filem arahan Mamat Khalid ini turut menampilkan Primadona filem Melayu alaf baru, Erra Fazira dan usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida sebagai cameo.

Sebelum ini, Mamat pernah muncul dengan naskah trilogi Kampung Pisang iaitu filem Zombie Kampung Pisang (2007), Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) dan Husin Mon Jin Pakai Toncit (2013).

Menariknya, filem Hantu Kak Limah Balik Rumah pernah mencatat kejayaan besar dengan kutipan pecah panggung RM8 juta.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Dalimawati