Penyanyi Idris Brown tampil menjelaskan situasi sebenar mengenai persembahan lagu Negaraku yang dinyanyikannya sewaktu perlawanan akhir Piala FA 2022 yang berlangsung baru-baru ini dikatakan berbunyi ‘aneh’.

Menurut Idris atau nama asalnya Idris Zulkifli, 26, berkemungkinan disebabkan iringan bunyi gitar elektrik pada persembahan tersebut menyebabkan bunyi lagu itu kedengaran sedikit berbeza daripada kebiasaan.

Bagaimanapun, menurut juara pertandingan All Together Now Malaysia musim pertama itu, hal tersebut bukanlah suatu perkara yang janggal atau salah jika dilihat pada sudut seni muzik itu sendiri.

“Saya tahu netizen mempersoalkan kehadiran gitar elektrik disitu sehingga lagu itu berbunyi sedikit berbeza daripada kebiasaan yang mereka dengar.

“Bagi saya, daripada sudut seni muzik kehadiran gitar disitu tidak salah sekalipun untuk persembahan nyanyian begitu, malah ianya sangat sesuai. Takkan nak letak kompang pulak kan.

Arrangement bukanlah daripada saya, saya sekadar menyanyikan sahaja. Semua persedian melodi, lirik dan kehadiran pemain gitar elektrik adalah daripada pihak penganjur.

“Sewaktu persembahan itu hanya ada dua elemen sahaja yang terlibat iaitu vokal dan gitar, malah ianya bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan. Bagaimanapun saya terbuka menerima teguran netizen,” katanya ketika dihubungi Gempak.

BACA: “No Respect”- Netizen Persoal Alunan Muzik Lagu Negaraku Di Final Piala FA 2022 Berbunyi Aneh

Ditanya mengenai perasaan dapat melakukan persembahan di hadapan lebih 100 ribu penonton yang hadir pada perlawanan tersebut, Idris merasakan sangat bertuah dengan peluang yang diberikan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana sudi dan mempercayai bakat saya untuk menyampaikan lagu Negaraku dalam versi klasikal,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Idris bakal keluar dengan single sulungnya berentak pop klasikal yang berjudul Pada Akhirnya pada 16 Septmber depan.

Terdahulu, telah berlangsung perlawanan akhir Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu dengan menyaksikan pasukan Johor Darul Ta’zim berjaya membawa pulang trofi kemenangan selepas menumpaskan pasukan Terengganu FC dengan keputusan penuh 3-1.