Model terkenal antarabangsa, Bella Hadid mendedahkan yang dia telah diajar untuk berpuasa sejak kecil lagi.

Berkongsi cerita dalam temu bual bersama Harper's Bazaar, Bella memaklumkan agama dan budaya merupakan perkara penting yang sering diajarkan bapanya Mohamed Hadid, yang merupakan seorang hartawan hartanah berketurunan Palestin.

"Bapa saya sangat bersemangat (mengajar hal agama dan budaya) dan itu menjadikan saya teruja untuk tahu lebih banyak perkara tentang asal usul saya," kata Bella kepada Harper's Bazaar.

Supermodel itu yang juga adik kepada seorang lagi model popular Gigi Hadid turut berkongsi cerita bagaimana keluarganya menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan, termasuk meraikan Aidifitri bersama keluarganya.

Namun, dia akui apabila usianya semakin meningkat ditambah pula kesibukan dalam dunia hiburan dan sebagai peragawati menyebabkan dia semakin lalai menjalankan ibadah itu.

Malah, dia tidak malu membuat pengakuan itu dalam temu bual tersebut.

"Kami sekeluarga meraikan Aidilfitri bersama keluarga. Saya menjalankan ibadah puasa sejak kecil.

"Tetapi apabila semakin dewasa, mula bekerja dan melanjutkan pelajaran, saya semakin sukar untuk berpuasa untuk tempoh yang panjang," katanya.

Bella Hadid turut dikenali sebagai seorang yang vokal dalam menyuarakan isu-isu berkaitan kesaksamaan jantina termasuk isu Palestin.