BERITA
Tarikh Lihat Anak Bulan Syawal 30 Mac Ini
Tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang 30 Mac bersamaan 29 Ramadan di 29 lokasi di seluruh negara.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam satu kenyataan berkata, ia perintah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selepas diperkenankan Raja-Raja.
Menurut kenyataan tersebut, tarikh awal Syawal akan diumumkan pada malam itu juga melalui radio dan televisyen.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa tarikh melihat anak bulan Syawal pada petang Ahad.
“Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh awal Ramadan berdasarkan rukyah dan hisab.
“Jawatankuasa yang berkenaan diperkenankan melihat anak bulan Syawal pada petang hari tersebut di 29 tempat,” katanya pada Khamis.
Sebanyak 29 lokasi cerapan anak bulan ditetapkan iaitu Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Melaka; Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang; Stesen Cerapan Hilal Kampung Pulau Sayak dan Menara Alor Setar di Kedah.
Di Terengganu pula, Stesen Cerapan Hilal Bukit Besar, Bukit Geliga, Pulau Perhentian dan Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) manakala di Kelantan di Stesen Cerapan Hilal Bukit Kampong Tembeling, Menara Bangunan SEDC serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh di Kelantan.
Selain itu, Pusat Falak Miri dan Bintulu serta Teluk Bandung di Sarawak.
Lokasi lain termasuk Menara 188 Kuantan, Tapak Cerapan Hilal Bukit Tanjong dan Gunung Berincang di Pahang; Balai Cerap Al-Biruni serta Menara Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sabah dan Menara Kuala Lumpur, selain Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) serta Masjid Al-Hussain di Kuala Perlis.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video