Televisyen Hadiah Pilihan Yang di-Pertuan Agong Dan Raja Permaisuri Agong Buat Pasangan Pengantin
Set televisyen sering menjadi pilihan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk dijadikan kurniaan kepada pasangan raja sehari.
Ramli Mahmud, 68 tahun, yang berkhidmat sebagai Pengelola Istana Abdulaziz di sini, sejak 2007 berkata ada kalanya Tunku Azizah juga berkenan mengurniakan set pinggan mangkuk kepada pasangan pengantin.
"Setiap kali baginda berkenan untuk mencemar duli berangkat menghadiri jemputan majlis perkahwinan, Sultan Abdullah akan menitahkan saya untuk membeli televisyen dan dihantar ke lokasi majlis.
"Kadangkala tertanya juga mengapa televisyen? Namun saya tidak ada jawapannya...yang pasti saya sendiri sudah tidak ingat berapa banyak set televisyen sudah dibeli," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Menyatakan bahawa Sultan Abdullah amat menghargai 'pemberian orang', Ramli yang berasal dari Sungai Ara, Pulau Pinang, berkata beliau ada menerima pertanyaan mengenai hadiah yang sesuai untuk diberikan kepada Seri Paduka Baginda.
Memahami usaha mencari hadiah sesuai untuk dijadikan cenderamata kepada seorang raja mungkin sukar berikutan statusnya, Ramli berkata antara hadiah yang disukai Sultan Abdullah Ri'ayatuddin adalah album gambar.
"Tuanku suka jika diberikan album khususnya jika ada gambar-gambar lama baginda. Ada masanya pada waktu senggang, Tuanku akan menitahkan supaya album dikeluarkan dan akan mengenang semula kisah di sebalik gambar.
"Ada masanya baginda akan melihat gambar semasa muda dan bertanya jika saya masih mengingati siapa yang berada di dalam gambar dan bertanya jika saya tahu perkembangan individu tersebut," katanya.
Kredit Gambar: Twitter Tunku Azizah @cheminahsayang