Pendakwah bebas Ebit Lew meluangkan masa melawat ibu bapa angkat kepada arwah adik Amir yang ditemukan lemas di dalam tong air di kediaman ibu kandung dan bapa tirinya bulan lalu.

Kunjungan Ebit Lew disambut baik oleh ibu bapa angkatnya yang masih bersedih di atas pemergian adik Amir atau nama sebenarnya Zubaidi Amir Quasyairi Abd Malek, 7.

Menurut Ebit tujuannya hadir adalah untuk memberi sedikit semangat kepada mereka serta sedikit sumbangan untuk menghadapi ujian berat itu.

“Ziarah keluarga angkat arwah adik Amir meninggal baru ini di Rawang. Sampai jer umi dan abah kepada Amir menangis. Terharu ustaz sampai sini. Terima kasih ustaz.

“Saya hadir untuk beri sedikit semangat, doa,dan sedikit hadiah. Sepanjang berbual dan berkongsi tadi terasa berat sangat ujian buat keluarga ini.

“Sempat dengar dan tengok video adik Amir solat, baca surah Al Mulk, minta maaf setiap kali buat salah. Allahuakbar. Dengar kisah dari kecilnya Amir sampai akhir hayatnya,” katanya.

Ebit berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.

Menerusi entri tersebut kelihatan ibu angkat Amir sedang mengusap air matanya yantg mengalir sambil mendengar kata-kata dari Ebit.

Menurut Ebit, ketika kejadian dia berada di Sabah dan sempat mendoakan anak kecil itu dari jauh.

“Masa dengar tentang Amir, saya di Sabah. Berdoa dari jauh jer. Mendengar betapa sayangnya dan manjanya Amir dengan keluarganya dan abang serta kakak angkat. Betul-betul seperti keluarga.

“Sehinggalah mereka berpisah kerana ibu kandung dan ayah tirinya datang ambil. Saya sempat berdoa bersama keluarga. Menangis jer umi dan abah Amir. Berat ujian ini. Semoga satu hari bertemu kembali dalam syurga Firdaus,” katanya lagi.

Jenazah kanak-kanak malang itu ditemukan lemas di dalam tong air di kediaman ibu kandung dan bapa tirinya di Taman Krubong Jaya, Melaka didakwa telah didera oleh keluarganya sendiri.

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew)