Berita
Terbabit Dalam Kemalangan, Pengasas Dnars Meninggal Dunia
Usahawan kosmetik, Faziani Rohban Ahmad, 40, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Pattani, Thailand pada pagi Sabtu.
Menurut laporan MStar, rakan baik Faziani, Natasha Maria Akhmad berkata, kejadian berlaku membabitkan sebuah lori dan kereta yang dinaiki pengasas produk kesihatan dan kecantikan Dnars itu.
Natasha yang mengenali Faziani lebih 12 tahun dimaklumkan kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi Sabtu waktu Malaysia.
“Kemalangan berlaku semasa Faziani dalam perjalanan ke rumah anak-anak tahfiz bagi memberikan sumbangan. Beliau meninggal dunia di tempat kejadian.
“Suami Faziani, Ahmad Shah Rizal Ibrahim turut terlibat dalam kemalangan tetapi hanya mengalami kecederaan dan beliau yang memaklumkan kepada saya mengenai berita sedih ini,” katanya.
"Suami Faziani dibawa ke Hospital Pattani dan urusan untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia sedang dijalankan," katanya dengan nada sebak.
Berita tersebut turut disahkan oleh anak Allahyarham Faziani, Iqbar Hakim menerusi video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya pada tengah hari Sabtu.
"Saya baru saja selepas kehilangan bonda kesayangan saya disebabkan kemalangan.
"Kepada semua, sedekahkan Al-Fatihah kepada mami, Faziani Rohban Ahmad, semoga ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya.
Malah, video anak Allahyarham turut mengundang sebak selebriti tempatan antaranya Wak Doyok, Nadia Brian, Datuk Seri Vida, Lisdawati dan Hafiz Hamidun.
Sumber: mStar Online
Must-Watch Video