Selepas menjuarai program Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9), penyanyi bervokal lantang, Jaclyn Victor memaklumkan dia bakal mengeluarkan sebuah lagu baharu dalam masa terdekat.

Kata Jaclyn, dia akan terbang ke New York bagi merakamkan lagu tersebut yang merupakan hasil ciptaan sebuah band ternama, Beat The System yang juga kenalannya.

“Selepas menang GV, saya diam sekejap dan sekarang ini saya ada beberapa perancangan besar untuk kerjaya seni saya. Saya akan terbang ke New York pada 27 Mac ini untuk merakamkan lagu baharu.

“Saya sangat tidak sabar untuk masuk studio rakaman dan rakam lagu tersebut. Lagu tersebut dicipta oleh kenalan saya juga iaitu sebuah band namanya Beat The System. Band itu memang menetap di sana (New York).

“Bila dia mereka lamar saya dan ajak saya untuk rekod, saya terus terima. Lagu ini boleh dikategorikan sebagai lagu yang meleleh, tentang cinta,” katanya kepada Gempak.

Jaclyn berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama kelab peminatnya, JvStars yang diadakan di Ampang Glasshouse, pada Ahad.

Berkongsi lanjut mengenai lagu yang mengisahkan tentang cinta itu, Jaclyn akui tidak sabar selain mengharapkan peminat akan menyukai lagu tersebut

“Saya suka lagu ini, sebab lagu ini sangat lain daripada lain. Tidak pernah saya ada lagu yang sedemikian. Saya harap semua orang dan peminat terutamanya dapat terima dengan baik buah tangan terbaharu saya ini yang akan saya pastikan keluar secepat mungkin,” tambahnya.