HIBURAN
Terbuka Untuk Kerja Bersama Keluarga, Leona Teringin Ada Program Realiti Sendiri - “Campak Kami Dalam Hutan…”
Pempengaruh media sosial, Leona meluahkan hasratnya untuk muncul dalam sebuah program realiti bersama keluarganya.
Menurut Leona atau Kasih Iris Leona dia sangat terbuka untuk bekerjasama dan menerima tawaran daripada mana-mana produksi yang mahu menawarkan sebuah program untuknya sekeluarga.
“Of course saya nak, saya seorang yang memang sayangkan keluarga saya, tapi saya tak tahulah kalau kerja dengan diorang ni kami akan bergaduh atau tidak.
“Tapi saya rasa ia biasa kalau keluarga bergaduh tapi saya mahu lakukannya bersama mereka, harap-harap ada produksi yang mahu lakukan sebuah rancangan untuk kami sekeluarga,” ujar Leona.
Sekiranya diberi peluang anak kepada pelakon Azhar Sulaiman ini juga mahukan sebuah program yang boleh menonjolkan sisi lain keluarganya itu.
Jelas Leona, ramai yang melihat keluarganya tidak kelihatan seperti keluarga yang boleh melakukan aktiviti lasak atau ‘adventurous’ namun itu sebenarnya adalah satu sisi menarik yang patut diketengahkan kepada umum.
“Kami sekeluarga tiada rupa yang menampakkan kami ini keluarga yang adventure, dan saya rasa ia satu sisi yang perlu ditonjolkan.
“Kalau ada program, saya nak mereka campak kami dalam hutan untuk kami survive sebab ayah saya dia seorang yang kreatif, kami adik beradik pernah menyertai pengakap dan ibu saya pandu puteri jadi saya ia akan jadi satu rancangan yang sangat menarik,” katanya kepada Gempak.
Sekadar info, Leona merupakan anak ketiga kepada pasangan Azhar Sulaiman dan Chempaka Emalin Pahamin.
Leona juga mempunyai pasangan kembar bernama Andika Rees Pahamin serta seorang kakak, Kasih Leia Ixora.
Must-Watch Video