Laman Utama

“Terdapat Beberapa Faktor Boleh Sebabkan Pesawat Hilang Kawalan” - Pakar

gempak
Gempak
18/08/2023
04:51 MYT
Sponsor Banner
“Terdapat Beberapa Faktor Boleh Sebabkan Pesawat Hilang Kawalan” - Pakar
Semalam, Malaysia dikejutkan dengan tragedi duka di mana sebuah pesawat ringan dengan dua krew penerbangan dan enam penumpang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor.
Menurut Ketua Penerbangan Mencari dan Menyelamat Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology, Prof Madya Mejar Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian, terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan pesawat hilang kawalan.
#Engine Flameout
Antaranya adalah engine flameout iaitu keadaan di mana enjin pesawat secara tiba-tiba tidak mengeluarkan tujahan dan jika salah satu enjin mengalami keadaan sebegini, pesawat akan berputar pada paksi tertentu.
"Lazimnya orientasi pesawat dapat dibetulkan kerana satu lagi enjin berfungsi tetapi jika pesawat berada pada ketinggian yang rendah, ada kemungkinan orientasi pesawat tidak dapat dibetulkan pada masa yang singkat,” jelasnya.
#Ketidakseimbangan Pesawat
“Satu lagi faktor ialah ketidakseimbangan pesawat kerana pusat gravitinya adalah di luar sampul keselamatan.
“Setiap pesawat ada pusat gravitinya dan adalah penting untuk memastikan pusat graviti pesawat berada pada julat yang ditetapkan oleh pengeluar pesawat.
"Selalunya overloading atau loading yang tidak sempurna akan membuatkan pusat graviti pesawat berada di luar sampul keselamatan.
"Kita perlu menyiasat sama ada kargo-kargo pesawat diletakkan secara betul dan optimum serta sama ada jumlah berat kargo terbabit adalah tidak melebihi had yang telah ditetapkan oleh design limit atau limitasi rekaan," katanya.
#Control Freeze
Beliau berkata, faktor lain yang perlu diambil kira adalah kawalan pesawat tergendala iaitu control freeze di mana elevator pesawat secara tiba tiba tidak berfungsi.
"Selain itu, input juruterbang pada komponen-komponen lain pesawat, seperti aileron, tidak mendapat reaksi yang sepatutnya dari pesawat.
"Kita perlu melihat data-data dari kotak hitam pesawat untuk menilai sama ada pesawat mengalami kegagalan sistem kawalan," ujarnya.
Tambahnya lagi, jika ada kegagalan sistem, nilai-nilai pada data terbabit adalah tidak nominal dan itu membolehkan pihak berkuasa membuat kesimpulan akan julat masa kegagalan itu.
"Perlu diingat bahawa segala kemungkinan ini perlu disertakan dengan bukti-bukti yang utuh untuk memastikan unjuran ini adalah tidak berbentuk spekulasi semata-mata.
"Dengan itu, pengumpulan bukti-bukti adalah wajar dan ia selari dengan prinsip penyiasatan iaitu kesimpulan dibuat berdasarkan entiti-entiti yang kukuh,” jelasnya lagi.
#Keadaan Cuaca
Sementara itu, Pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata, banyak perkara yang boleh menyebabkan kejadian pesawat terhempas itu berlaku.
"Keadaan cuaca langsung tidak memainkan peranan kerana kita ketahui keadaan cuaca termasuk kelajuan angin adalah baik.
"Oleh itu, pihak Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan menumpukan perhatian terhadap keadaan pesawat untuk mencari bukti-bukti atau petunjuk berbentuk teknikal terlebih dahulu sebelum memperolehi data kotak hitam yang perlu diproses terlebih dahulu.
"Sekiranya tiada masalah teknikal ditemukan, barulah mereka akan cari bukti sekiranya kemalangan terbabit adalah disebabkan oleh kesilapan manusia," katanya.
BACA: "Adik Sayang Mama Sangat-Sangat" - Kata-Kata Terakhir Juruterbang Pesawat Terhempas
BACA: Video Dashcam Kereta, CCTV Rumah Jadi ‘Saksi’ Tragedi Pesawat Terhempas Di Elmina
HARIAN METRO
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live