Harapan mangsa banjir di Pantai Timur khususnya Terengganu untuk mendapatkan bantuan daripada Hero Banjir, Abang Viva atau Azwan Omar akan menjadi kenyataan.

Hal ini berikutan, Azwan mengesahkan telah merancang untuk melakukan misi bantuan dan keselamatan kepada mangsa banjir selepas melihat keadaan Pantai Timur yang teruk dilanda bencana tersebut sejak beberapa hari ini.

“Insya Allah, memang ada plan (rancangan) ke sana (Pantai Timur),” katanya ringkas sewaktu dihubungi Gempak melalui kiriman WhatsApp.

BACA: #G The Untold Story: Setulus Hati Azwan Omar, Viva Pinjam & Enjin Bot Kawan

Anak kelahiran Melaka itu bagaimanapun seperti biasa tidak berkongsi secara terperinci rancangan dan misi menyelamat mangsa banjir seperti yang dilakukannya sebelum ini demi dapat menghulurkan bantuan dengan lebih berkesan.

Namun menerusi sesi live di Facebook yang dilakukannya malam tadi, Azwan pergi menghulurkan bantuan di Kuala Berang, Terengganu selepas ramai yang mencadangkan lokasi terjejas teruk dalam bah kali ini.

Terdahulu beberapa pengguna media sosial dilihat ‘menyeru’ bantuan daripada Abang Viva untuk datang ke lokasi banjir selepas banyak menyelamatkan mangsa bah tersebut sebelum dalam bencana sebelum ini.

Antara yang tular di media sosial adalah harapan berbunyi: “Abang Viva tolonglah kami.”

Azwan yang mesra disapa Abang Viva menjadi idola rakyat Malaysia selepas tanpa kelengkapan yang cukup dan hebahan telah datang menyelamatkan mangsa banjir di beberapa kawasan terjejas termasuk di Selangor dan Pahang dalam bah yang berlaku pada Disember lalu.

Terkesan dengan sifat mulianya tanpa lelah membantu mangsa banjir, Azwan dipilih menjadi anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka pada Januari lalu.

Pemuda berusia 30 tahun ini juga menjadi antara 10 orang awam yang menerima sijil penghargaan sempena Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2022, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Selain itu, Azwan yang selama ini memberi bantuan dengan hanya menggunakan kereta jenis Viva dan bot yang setia menemaninya sepanjang misi kemudian dihadiahkan sebuah kereta pacuan empat roda daripada seorang usahawan.

Sementara itu untuk rekod, banjir di Terengganu dilaporkan semakin buruk.