Berita
"Terima Kasih Kerana Menceroboh Ruang Peribadi Saya"- Luqman Faiz Alami Tekanan?
Penyanyi Luqman Faiz memberi gambaran seolah-olah dirinya kini sedang berada dalam keadaan tertekan.
Lebih membimbangkan apabila pelantun lagu hit Kepuraanmu itu mendakwa dirinya juga berdepan masalah keresahan melampau ataupun lebih dikenali sebagai anxiety.
Hal berkenaan dikongsikan penyanyi berusia 19 tahun itu menerusi satu status yang dimuat naik menerusi akaun Twitter miliknya semalam.
"Terima kasih kerana menceroboh ruang peribadi saya, anda benar-benar 'membantu' saya dengan tekanan dan anxiety yang saya alami.
"Terima kasih juga kerana menyebarkan berita dan gambar saya. Terima kasih," tulisnya ringkas.
Status itu kemudian terus mendapat pelbagai respons dalam kalangan pengikutnya.
Masing-masing cuba mendapatkan kepastian mengenai apakah sebenarnya yang terjadi kepada penyanyi tersebut.
"Apa yang telah terjadi? Saya harap anda baik-baik sahaja.
"Saya harap awak okey! Saya akan selalu menyokong awak!
"Berdoa agar Allah akan sentiasa melindungi kamu, Insya-Allah. Tuhan merahmati kamu Luqman," tulis sebahagian netizen di ruangan komen.
Bagaimanapun, sehingga kini, Luqman dilihat mengambil pendekatan untuk tidak menjawab sebarang pertanyaan pengikutnya dan terus meninggalkan tanda tanya kepada orang ramai.
Sebelum ini, Luqman juga pernah menimbulkan kebimbangan umum selepas memuat naik sebuah video dirinya sedang menangis di dalam kereta selepas selesai konsert Big Stage 2019.
Namun, Luqman kemudian mengakui dirinya gagal mengawal perasaannya apabila satu-satu hal itu melibatkan kisah cinta dan keluarga.
Must-Watch Video