Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengotakan janji untuk membotakkan kepalanya selepas berjaya mengumpulkan wang berjumlah RM200,000 bagi menjayakan kempen '1 Keluarga, 1 Laptop' di daerah tersebut.

Upacara mencukur rambutnya itu dilakukan secara langsung menerusi Astro Awani semalam.

Ibu Syed Saddiq, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz sendiri diberi ‘penghormatan’ untuk mencukur rambut beliau.

Menerusi akaun Instagram milik Saddiq, beliau juga berkongsi video pendek yang merakamkan wajahnya sebelum dan selepas rambut dicukur.

Malah bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga cukup sporting apabila menggelarkan diri beliau sebagai Saitama iaitu salah satu watak dalam siri animasi popular Jepun, One Punch Man.

“Terima kasih rakyat Malaysia. Target tercapai! Thank you @501Awani for hosting this session.

“Sincerely, Yang Botak Syed Saitama,” tulis beliau.

A post shared by Syed Saddiq (@syedsaddiq)


Untuk info: Syed Saddiq mengumumkan kempen '1 Keluarga, 1 Laptop' untuk mengumpulkan RM200,000 dalam masa lima hari untuk membeli komputer riba bagi keluarga susah pada 26 Disember lalu.

Beliau juga berjanji untuk melaksanakan misi #BotakChallenge (membotakkan kepala) sekiranya berjaya mencapai sasaran.

Bagaimanapun kempen itu berjaya mengutip sebanyak RM383,000 iaitu melebihi daripada jumlah sasaran.

Di fahamkan penyerahan komputer riba kepada pelajar yang kurang bernasib baik akan diadakan di Dewan Serbaguna Hajah Hasnah di Muar hari ini.