Laman Utama
"Teringin Nak Pergi Rome, Tapi Buat Masa Ini….– Ernie & Syamel
Pasangan penyanyi Ernie dan Syamel tidak merancang untuk pergi berbulan madu kerana jadual kerja yang padat dan keadaan semasa, iaitu masih berada bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat (PKPB).
Syamel berkata dia dan Ernie hanya mengambil cuti pada hari Ahad (hari ini) untuk menyelesaikan urusan berpindah rumah.
“Dalam keadaan sekarang (PKPB) kami tidak merancang untuk berbulan madu di mana-mana walaupun dalam negeri PKPB kerana jadual yang agak padat.
“Kami ambil cuti esok (Ahad) kerana nak pindah rumah. Sekarang ini kami bergilir tinggal di rumah ibu bapa masing-masing di Ampang dan Klang.
“Esok kami akan berpindah ke rumah Syamel di Kuala Lumpur. Sebab itu rasanya tidak sempat memikirkan tentang bulan madu.
“Dalam keadaan sekarang kami akan memberi keutamaan kepada kerja terlebih dahulu, lagi-lagi job pun dah tak macam dulu.
“Lebih baik kumpul duit dahulu, kalau ada rezeki dah dibenarkan merentas negeri nanti bolehlah fikir tentang percutian atau bulan madu kemudian,” kata Syamel.
Ditanya mengenai destinasi bulan madu idaman, Ernie berkata antara tempat yang ingin dilawati ialah ibu negara Itali, Rome.
“Sebenarnya saya teringin nak pergi Itali tetapi tak apalah, tak ada rezeki nak ke sana. Cumanya kami ada menerima tawaran daripada Astro untuk penggambaran program Romantika yang akan dibuat di Pulau Langkawi.
“Insya-Allah kalau ada rezeki nanti boleh ke Pulau Langkawi, walaupun kena kerja. Tetapi lokasi tu masih dalam perancangan, tarikh juga tidak pasti lagi, tetapi kalau jadi, kira okaylah walaupun hanya shooting di hotel, tapi dapatlah merasa suasana berbeza,” katanya.
Ditanya tentang cahaya mata, Syamel dan Ernie Zakri berdoa supaya dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat.
Tambahan lagi kata mereka, pada usia 27 (Syamel) dan 29 (Ernie) ini soal anak hanya diserahkan kepada rezeki diberi Allah SWT.
"Saya sudah masuk 29 tahun. Kalau boleh, doakan agar kami dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat. Kalau ada rezeki (anak), kami terima dengan hati terbuka," kata Ernie.
Menurut Syamel, dia dan Ernie tidak merancang apa-apa, sebaliknya mendoakan agar semuanya dilancarkan.
"Kami tak ada merancang atau menyekat apa-apa. Kalau ada rezeki, Alhamdulillah,” katanya.
Syamel dan Ernie ditemui ketika majlis resepsi mereka yang berlangsung di Bayswater KLCC, Kuala Lumpur pada malam Sabtu.
Majlis yang diadakan secara sederhana tetapi merah itu, dihadiri sanak saudara serta sahabat handai yang juga terdiri daripada barisan selebriti terkemuka tanah air.
Antara yang hadir adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Anuar Zain, Liza Hanim, Ifa Raziah, Datuk Syafinaz Selamat, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Sufi Rashid, Sharul Kamal, Khai Bahar dan ramai lagi.
Tetamu juga dihiburkan dengan persembahan hebat antaranya oleh Aisha Retno, Dina Nadzir, Elvira Arul serta bapa saudara Ernie sendiri, Anuar Zain.
Syamel dan Ernie sah bergelar suami isteri pada 26 Mac lalu dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup di Puncak Alam, Selangor.
Must-Watch Video