Anggota kumpulan Dolla, Tabby menjadi wakil tunggal Malaysia yang tercalon dalam senarai 100 Wajah Tercantik 2021 (100 Most Beautiful Faces of 2021) oleh TC Candler.

Terkejut dan tidak menyangka apabila memasuki carta tersebut, kata Tabby atau nama sebenarnya Tabitha Ariel Lam, 20, senarai itu sedikit sebanyak menjadi pembakar semangatnya.

"Saya rasa sama macam orang lain jer, saya bersyukur untuk tersenarai walaupun hakikatnya ramai lagi wanita cantik di luar sana yang lebih layak.

"Saya sangat bersyukur kerana mendapat nominasi yang besar daripada TC Candler, saya betul-betul terkejut ketika mula-mula tahu mengenai perkara ini.

"Susah untuk saya percaya perkara ini kerana artis-artis lain semuanya hebat.

"Bagi saya, seorang yang cantik memiliki hati yang murni dan personaliti menarik, sesiapa saja boleh jadi cantik. Ia bermula daripada diri sendiri... Sayangi diri dan keyakinan itu perkara utama, kemudian barulah paras rupa," katanya kepada Gempak.

Selain Tabby, senarai yang dikeluarkan TC Candler itu turut meletakkan beberapa bintang ternama Asia termasuk penyanyi Raisa dan Ayu Ting Ting sebagai 100 Wajah Tercantik 2021.

Malah, turut memasuki carta adalah salah seorang anggota kumpulan Kpop Blackpink, Rosé.

"Saya rasa bertuah kerana Rosé menjadi idola saya selama ini, dia jauh lebih cantik daripada saya dan menghormati dirinya dan kejayaannya bersama Blackpink," tambahnya.

Tabby turut berterima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong kerjayanya dan kumpulan Dolla.

"Saya mahu ucapkan jutaan terima kasih kepada peminat saya dan Dolla, tanpa mereka, mustahil untuk saya merasa peluang sebegini.

"Mereka sentiasa menyokong saya sepenuh hati, itulah perkara yang sangat saya hargai.

"Saya harap dengan nominasi ini, saya boleh mewakili nama Malaysia dengan baik, saya juga berbesar hati untuk menyertai nama-nama bintang tempatan yang pernah dicalonkan sebelum ini seperti Fattah Amin dan Henry Golding.

"Saya juga berharap agar peminat boleh menyokong dan mengundi saya di platform media sosial TC Candler," akhirinya.

Selain kategori wanita, TC Candler turut menyenaraikan pencalonan untuk 100 Wajah Paling Tampan 2021 (The 100 Most Handsome Faces of 2021).

Antara bintang antarabangsa yang turut dinominasi adalah Shawn Mendes, Troye Sivan, Daniel Radcliffe, Jackson Wang, Jimin BTS dan ramai lagi.

A post shared by TC Candler (@tccandler)


Selamat berjaya Gempak ucapkan kepada Tabby!